Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi (tengah) beramah mesra dengan sebahagian pemuda pada Majlis Perasmian Expo Pemuda 2018 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 14 APRIL 2018

KUALA LUMPUR – Barisan kepimpinan Pemuda Barisan Nasional (BN) diminta tidak kecewa atau patah semangat seandainya impian menjadi calon pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) tidak menjadi kenyataan.

Sebaliknya, semangat juang demi masa depan parti komponen BN dan golongan muda perlu terus menjadi keutamaan, terutama ketika PRU kali ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, hasrat kerajaan untuk mengetengahkan ramai tokoh golongan muda dalam kalangan ahli BN tetap ada namun mereka yang tidak tercalon tidak boleh menjadi terlalu emosi.

Jelasnya, semangat untuk terus berjuang dalam BN perlu sentiasa ada dalam hati dan jiwa masing-masing.

“Memag ada yang terintai-intai peluang. InsyaAllah, ada peluang. Jika diberikan peluang itu, gunakan ianya dengan betul dan baik. Walaupun kawasan sesukar manapun, cuba sedaya upaya untuk menang.

“Berikan kami keyakinan itu bahawa anda boleh menang walau diletakkan di mana-mana. Jika tidak tercalon, jangan kecewa sebaliknya terus perjuangkan perjuangan anda,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di hadapan kira-kira 3,000 orang muda pada majlis perasmian Expo Pemuda BN 2018 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Turut hadir pada majlis Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin dan Naib Ketua Pemuda UMNO, Khairul Azwan Harun.

Tambah Ahmad Zahid, pucuk pimpinan parti sudah mengambil maklum mengenai hasrat Pemuda BN yang ingin mengetengahkan tokoh-tokoh mereka pada PRU akan datang.

“Saya sendiri produk dari ‘kilang’ Pemuda. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak lahir dari kilang Pemuda, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein juga dari Pemuda.

“Yakin pada kami, kami juga tahu apakah hasrat anda semua. Kita tahu kehendak Pemuda untuk tonjolkan tokoh-tokoh di persada tinggi terutama pada 28 April dan 9 Mei,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut membayangkan pencalonan Setia­usaha Agung Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka), Datuk Megat Zulkarnain Omardin.

“InsyaAllah Pesaka melalui Setiausaha Agungnya mungkin akan diberikan sebuah kerusi dan perlu digunakan dengan baik sekali. Perlu menang. Kita tunggu,” katanya tanpa memberi butiran lanjut. – MalaysiaGazette