LONDON – Manchester United (MU) bangkit selepas ketinggalan satu gol untuk menundukkan Tottenham Hotspur 2-1 di Stadium Wembley awal pagi ini.

Kemenangan itu mengesahkan tempat ke final Piala FA buat kali ke-20.

Jaringan Alexis Sanchez serta Ander Herrera memadam gol awal Dele Alli dan memastikan Spurs terus kempunan untuk meraih trofi dalam tempoh sedekad.

Spurs bermula garang apabila mendahului seawal minit ke-11 menerusi gerakan menarik yang diperagakan anak buah Mauricio Pochettino.

Hantaran jauh Davinson Sanchez disambut Christian Eriksen yang gagal dikawal Paul Pogba sebelum pemain tengah Denmark itu melakukan hantaran lintang yang disambut Alli untuk gol peribadi ke-13 musim ini.

Bagaimanapun, hantaran Pogba ditanduk masuk Alexis Sanchez pada minit ke-24 untuk dia mengekalkan rekod cemerlangnya di Wembley yang menyaksikan jaringan ketiga bersama United.

Ia merupakan jaringan kelapan dalam lapan perlawanan di stadium tersebut.

Spurs sekali lagi dikejutkan lawannya apabila hantaran Sanchez disambut Herrera yang tidak dikawal sebelum pemain tengah itu melakukan rembatan leret untuk menewaskan Micheal Vorm pada minit ke-62.

Ketika United berpeluang untuk menamatkan musim ini dengan sekurang-kurangnya menjulang satu trofi, Spurs pula terus dirundung malang apabila tewas di peringkat separuh akhir Piala FA untuk kali kelapan berturut-turut.

United akan bertemu sama ada Chelsea atau Southampton dalam satu lagi aksi separuh akhir yang akan berlangsung, malam ini. – MalaysiaGazette