Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berucap pada Perasmian Bangunan Baharu Sekolah Menengah (SM) Kuen Cheng di SM Kuen Cheng, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 23 APRIL 2018

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Razak meminta masyarakat Cina di negara ini agar tidak mempercayai dakwaan DAP bahawa akan berlakunya tsunami Melayu pada Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU-14), 9 Mei depan.

Perdana Menteri yang menolak dakwaan itu turut berkata, Barisan Nasional (BN) akan memberikan jaminan bahawa tiada kaum Melayu menentang kerajaan.

“Adalah satu kesilapan besar masyarakat Cina jika percaya fitnah dan tohmahan DAP yang mempunyai rancangan kejam dan tidak berperikemanusiaan untuk bertanding di kawasan milik MCA.

“Ini kerana strategi DAP itu adalah berdasarkan hipotesis pembohongan bahawa akan berlakunya tsunami Melayu semasa PRU14 nanti,” katanya dalam ucapan perasmian bangunan baharu Sekolah Tinggi Kuen Cheng di ibu negara hari ini.

Hadir mengiringi Najib, Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai, Pengerusi Jawatankuasa Pengajur, Tan Sri Dr. Lim Wee Chai serta Pengerusi Lembaga Pengurusan Sekolah, Tan Sri Lee Shin Cheng.

Jelas Najib, jika fitnah ini diterima golongan pengundi dalam kalangan masyarakat Cina, maka langkah itu pasti akan menghalang lebih ramai wakil rakyat daripada kaum itu berada dalam kerajaan selepas 9 Mei depan.

“Kita memerlukan sokongan yang kuat dari Cina. Hari ini masyarakat Cina terdiri kira-kira 33 peratus daripada penduduk, tetapi hanya 6 peratus daripadanya adalah ahli Parlimen yang menyokong kerajaan.

“Itu tidak dapat dikekalkan dalam jangka panjang. Itu hanya akan berfungsi menentang masyarakat Cina,” katanya di hadapan lebih 2,000 masyarakat Cina di sekolah berkenaan.

Menurut Najib, sekiranya terus kekal dalam pemerintahan di Putrajaya, beliau akan terus mendengar masalah yang dihadapi masyarakat Cina daripada pemimpin MCA dan Gerakan.

“MCA dan Gerakan bekerja dengan gigih untuk menyokong komuniti Cina, bersama-sama dengan yang lain, saya boleh memberi jaminan bahawa saya sentiasa mendapatkan permintaan daripada Datuk Seri Liow, Mah Siew Keong, bagaimana kita dapat melakukan lebih banyak lagi yang boleh kita lakukan untuk komuniti Cina,” katanya.

DAP sebelum ini giat menabur fitnah bahawa akan berlaku tsunami Melayu berdasarkan kepada kehadiran orang ramai pada ceramah Pengerusi Pakatan Harapan (PH) di Kedah bulan lalu.

Kenyataan itu dikeluarkan bekas Ahli Parlimen DAP Kluang,  Liew Chin Tong penghujung bulan lalu. РMalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan