Peguam, Datuk Abu Backer Sidek menunjukkan gambar Menteri Pertahanan Malaysia, Mohamad Sabu selepas membuat laporan berkenaan atas alasan salah guna kuasa terhadap aset kerajaan di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 28 MEI 2018

PUTRAJAYA – Seorang individu hari ini membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu.

Datuk Abu Backer Sidek yang merupakan seorang peguam bela dan peguam cara bertindak membuat laporan berkenaan atas alasan salah guna kuasa terhadap aset kerajaan.

“Saya mohon agar SPRM buat siasatan agar perkara ini tidak berulang. Saya tidak cemburu kepada dia, tapi biarlah penggunaan aset itu berdasarkan kepada keperluan yang penting untuk tugas,” katanya ketika membuat laporan terhadap salah guna kuasa itu kepada SPRM.

Mohamad Sabu atau Mat Sabu pada Sabtu lalu menaiki pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Airbus, A400M daripada 22 skuadron bagi menghadiri satu program di Butterworth.

Ketibaan Mohamad disambut Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor dan Panglima TUDM, Tan Sri Affendi Buang.

Majlis tersebut adalah acara rasmi keduanya selepas dilantik sebagai Menteri Pertahanan pada 22 Mei lepas.

Dalam sidang media medianya selepas majlis itu, Mohamad berkata, beliau teruja apabila dapat pulang ke kampung halamannya dengan menaiki pesawat tentera.

“Saya sendiri tinggal tidak jauh daripada pangkalan ini. Daripada kecil saya dengar bunyi  laluan kapal terbang dan timbul perasaan bangga.

“Sepanjang perjalanan cuaca dalam keadaan baik walaupun awan agak tebal tetapi gegaran kurang dan tidak rasa cemas pun.

“Saya harap kapal terbang ini sentiasa berada dalam keadaan baik membawa pasukan tentera menjalankan tugas mengawal keselamatan negara,” katanya.

Ujar Abu Backer, majlis berbuka puasa yang dibuat oleh Kementerian Pertahanan itu hanyalah wayang bagi membolehkan Mat Sabu untuk pulang ke kampung halaman beliau di Butterworth.

“Dia mengaku nak balik kampung, jadi dia ditawarkan oleh Panglima Angkatan Tentera. Sekarang ini berlaku aktiviti membodek supaya kekal jawatan sebab beliau sudah nak pencen.

“Saya ada maklumat daripada tentera sendiri yang tidak puas hati dengan aset kerajaan. Bila Panglima Angkatan Tentera nak pergi mana-mana nak pergi, dia boleh buat panggilan telefon sahaja,” katanya.

Tambah beliau, perkara itu dilihat tidak wajar memandangkan negara kini berdepan dengan hutang yang mencecah RM1.087 trilion.

“Dia boleh naik aset kerajaan sebagai menteri. Tapi nak tuntut elaun pakailah Malaysia Airlines, AirAsia, Malindo. Tapi kalau pakai pesawat TUDM ia akan melibatkan perbelanjaan tidak kurang RM50,000.

“Dalam keadaan negara yang berdepan hutang yang begitu besar, nak belanja sebesar itu saya rasa satu tindakan yang amat tidak wajar,” katanya. – MalaysiaGazette

3 Komen

  1. Alhamdulillah tuan kerana memberi pandangan. Boleh lah menteri Pertahanan mengamok ini sebagai satu kritikan yg membena Dan jadikan ianya sebagai teladan Dan ikutan yg lain.. supaya Kita janganlah gunakan esset kerajaan until hal persendirian. Jadikan lah ini sebagai etika kerajaan baru ini. Insha Allah adalah hikmahnya nanti. Takpe Tuan Menteri, tuan baru lagi nak belajar Hadi menteri.

  2. Tak pe lah untuk sekali, Abg Mat nak merasa…….lain kali dok doh……..tq.

  3. kenapa masa 10 tahun DS Najib dan menteri2 BN dulu yg terang-terang guna harta negara untuk kepentingan sediri awak tak pernah lapor kod SPRM?

Comments are closed.