Freddie Fernandez

KUALA LUMPUR – Persatuan Karyawan Malaysia mencadangkan supaya sebuah Majlis Kesenian ditubuhkan supaya dapat membangunkan industri seni dan membanyakkan aktiviti kesenian di negara ini.

Presidennya, Datuk Freddie Fernandez berkata, cadangan tersebut telah diutarakan kepada ahli Majlis Penasihat Negara yang diketuai oleh Tun Daim Zainuddin.

“Saya ada mencadangkan sebuah Majlis Kesenian baharu ditubuhkan.

“Respon yang diberikan (oleh Majlis Penasihat Negara) adalah baik dan saya berharap agar ada berita baik untuk warga industri seni negara tidak lama lagi,” katanya selepas mengadakan pertemuan dengan ahli-ahli Majlis Penasihat Negara di sini hari ini.

Menyentuh mengenai pertemuan hari ini, Freddie berkata, taklimat berhubung perkembangan dan aktiviti kesenian tempatan telah diberikan kepada ahli-ahli majlis.

Selain Freddie, Presiden Kesatuan Wartawan Kebangsaan, Mohd. Taufeq Razak dan Pengerusi Persatuan Penerbit akhbar Malaysia, Datuk Abdul Jalil Hamid turut mengadakan pertemuan dengan Majlis Penasihat Negara pagi ini. -MalaysiaGazette