Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail sekali lagi cuba mengelirukan rakyat dengan membuat gesaan agar Laporan Ketua Audit Negara ke atas 1MDB dikelaskan semula sebagai dokumen bukan rahsia rasmi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, Jawayankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) merupakan sebuah Jawatankuasa yang bersifat bipartisan, telah mengemukakan permintaan kepada Jabatan Ketua Audit Negara dan Perdana Menteri juga sebelum ini telah mengarahkan Ketua Audit Negara untuk mengesahkan secara bebas akaun 1MDB.

“Tindakan ini jelas menunjukkan keterbukaan kerajaan dalam perkara ini. Laporan Ketua Audit Negara mengenai 1MDB ini telah dibincangkan oleh PAC sebelum memuktamadkan laporannya yang telah dibentangkan di Parlimen pada 7 April 2016.

“Pengelasan dokumen rahsia tidak semestinya menjejaskan keputusan dalam Laporan PAC seperti mana cuba dimainkan pembangkang kerana PAC juga telah merujuk pelbagai dokumen atau laporan lain sebelum memuktamadkan laporannya,” katanya dalam satu kenyataan petang tadi.

Menurut Azalina, ali-ahli parlimen dari pembangkang yang menganggotai PAC juga mempunyai akses sepenuhnya kepada hasil Laporan Ketua Audit Negara yang telah dibentangkan kepada PAC maka tiada keperluan untuk dikelaskan semula sebagai dokumen bukan rahsia rasmi.

“Keadaan ini sama seperti meminta kertas siasatan dijadikan sebagai dokumen bukan rahsia rasmi setelah pendakwaan dan penghukuman dibuat.

“Kenyataan Ketua Pembangkang itu, secara tidak langsung mempersoalkan kredibilti PAC termasuk ahli-ahli Parlimen pembangkang yang menganggotai jawatankuasa PAC,” katanya.

Menurutnya, kenyataan Ketua Pembangkang juga jelas menunjukkan yang Ketua Pembangkang tidak faham peruntukkan di bawah Undang-Undang termasuklah status penubuhan 1MDB yang mana diperbadankan di bawah Akta Syarikat 1965 dan bukannya satu badan Awam (public authorities).

Ketua Pembangkang dilihat lebih berminat untuk mempertahankan dan mengalih perhatian terhadap hukuman yang diterima Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli kerana mendedahkan dokumen rahsia rasmi, kata Azalina.–MalaysiaGazette