Penduduk di kawasan terlibat banjir dinasihat supaya akur dengan arahan pasukan keselamatan supaya berpindah lebih awal.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata ia bagi mengelak sebarang masalah ketika banjir sudah berlaku.

“Jika ada isi keluarga yang mahu tinggal dan menjaga barang di rumah, mereka perlu memindahkan ahli keluarga lain terlebih dahulu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis penyerahan bantuan persekolahan kepada anak-anak mualaf kurang mampu di sini hari ini.

Pada majlis berkenaan 142 anak-anak mualaf mendapat bantuan berupa wang tunai dan keperluan persekolahan sumbangan Yayasan Pok Dan Kassim serta Yayasan Wilayah Persekutuan.

Sementara itu Shahidan berkata pasukan keselamatan di kawasan berisiko banjir terutama di Kelantan telah menggerakkan anggota bagi memindahkan penduduk berikutan amaran hujan lebat di kawasan pesisir Pantai Timur yang diramal pada 17 hingga 20 Dis ini.

Shahidan berkata pihaknya telah menerima amaran hujan lebat peringkat jingga yang menyebabkan penduduk perlu dipindahkan di pusat pemindahan di kawasan masing-masing.

“Kita pindahkan penduduk sehari lebih awal dan bersiap sedia dengan bekalan keperluan semua pengkalan hadapan di kawasan terlibat. Kita harap semua penduduk terlibat akan memberi kerjasama,” katanya.

— BERNAMA