Home Dunia Israel tidak wujud 25 tahun lagi – Ayatollah

Israel tidak wujud 25 tahun lagi – Ayatollah

Pemimpin Iran, Ayatollah Ali Khamenei menuduh Amerika Syarikat sebagai ‘setan besar’ sehingga mewujudkan krisis Syria dan Iraq, untuk mengalih perhatian terhadap isu Palestin.

Khamenei, mengulangi kenyataan yang pernah dibuat dalam satu ucapan pada tahun lalu, juga memberitahu seorang pemimpin Palestin bahawa jika umat Islam bertindak, Israel tidak lagi akan wujud lagi dalam masa 25 tahun.

“Seperti yang saya katakan sebelum ini, rejim Zionis tidak akan wujud dalam 25 tahun akan datang dengan syarat perjuangan bersatu dengan rakyat Palestin dan umat Islam,” kata Khamenei kepada delegasi Palestin yang diketuai oleh Ramadan Abdullah Shalah.

“Walaupun percubaan berterusan oleh penyokong rejim Zionis untuk mewujudkan krisis dan menyebabkan isu Palestin diketepikan, tanah itu akan mencapai pembebasan,” kata Khamenei.

Beliau menegaskan Iran adalah di barisan hadapan penyokong perjuangan rakyat Palestin.

Tegasnya, walaupun bergelut dengan isu-isu serantau, Iran sentiasa jelas bahawa Palestin adalah masalah yang paling penting dalam dunia Islam dan terus menunaikan tanggungjawab dalam hal itu.

Beliau berkata, satu-satunya cara untuk membebaskan Jerusalem dari Israel adalah “melalui perjuangan dan rintangan,” selepas usaha lain menjadi sia-sia.

Sehari sebelum itu, Presiden Iran, Hasan Rouhani yang bertemu Shalah juga berkata, jihad dan rintangan adalah satu-satunya pilihan yang Palestin ada untuk berhadalan dengan Zionis. – MalaysiaGazette