Pengerusi BN Pulau Pinangm Teng Chang Yeow menutup mulut dengan pita pelekat sebagai protes tuntutan minta maaf daripada Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berkenaan isu Pulau Jerejak hari ini.

Teng Chang Yeow menutup mulutnya menggunakan pita pelekat semasa sidang media hari ini sebagai simbolik protes kepada Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

Pelekat berbentuk x itu dibuat selepas Pengerusi Barisan Nasional Pulau Pinang itu menerima surat notis tuntutan permohonan maaf daripada Guan Eng ekoran kenyataannya mengenai isu Pulau Jerejak.

Chang Yeow duduk tanpa berkata apa-apa semasa wartawan menyoalnya.

Tidak lama selepas, beliau menanggalkan pita pelekat dan berkata, ‘hari ini saya kena, esok mungkin kamu.’

Beliau menerima surat tuntutan bertarikh 25 November lalu berhubung kenyataannya mengenai Pulau Jerejak.

Dalam satu kenyataannya, Chang Yeow menganggap surat tuntutan maaf itu satu cubaan Guan Eng cuba menutup mulutnya berkenaan isu Pulau Jerejak.

“Ia juga supaya menghantar mesej kepada pihak lain terutama NGO daripada membangkitkan isu yang sama atau berdepan dengan tindakan undang-undang jika ia tidak disukainya.

“Saya tidak akan diam dengan tindakan undang-undangnya. Saya menyeru NGO meneruskan perjuangan demi kepentingan ramai dan tidak terganggu dengan tindakan undang-undang dikenakan kepada saya,” ujarnya lagi.

Tindakan undang-undang itu, katanya akan diserahkan kepada peguamnya dan beliau akan menjawabnya di dalam mahkamah.

“Saya akan meneruskan mengorek maklumat baharu mengenai Pulau Jerejak dan perjanjian urusan tanah pada masa akan datang,” tegasnya.–MalaysiaGazette