Datuk Abdul Rashid Harun

KOTA KINABALU – Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Abdul Rashid Harun mengesahkan Abraham @Ibrahim Hamid, seorang daripada tiga yang ditembak mati dalam kejadian tembak-menembak dengan pasukan keselamatan di perairan Semporna pada 8 Dis lalu adalah bekas anggota kumpulan Abu Sayyaf.

Abdul Rashid berkata Abraham@Ibrahim memang ada terlibat dalam beberapa kes penculikan untuk tebusan di pantai timur Sabah.

“Sebelum peristiwa pada 8 Dis, dia (Abraham@Ibrahim) aktif membuat kes-kes culik untuk tebusan,” katanya kepada pemberita selepas membuat lawatan rasmi di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Razarudin Husain @ Abd Rasid dan Ketua Polis IPD Kota Kinabalu ACP M. Chandra.

Pada 8 Dis lepas, kira-kira 9.51 malam, tiga penculik termasuk Abraham@ Ibrahim ditembak mati dalam kejadian tembak-menembak dengan Pasukan Gerakan Am (PGA) di perairan Pulau Gaya di Semporna, manakala dua lagi penculik diberkas dan dua lagi diburu.

Abdul Rashid berkata, pasukan polis akan terus mempertingkat kawalan dan kesiapsiagaan bagi mempertahan kedaulatan dan keselamatan negara, khususnya di Sabah, dengan kerjasama agensi keselamatan lain.

Dalam pada itu beliau berkata tangkapan terhadap individu yang terlibat dalam kumpulan militan Daesh, khususnya di Sabah, adalah bukti perisikan pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berkesan dalam menangani aktiviti keganasan.

“Ini menunjukkan pasukan PDRM sentiasa prihatin terhadap keselamatan negeri Sabah dan kesejahteraan rakyatnya. Hasil daripada perisikan yang bagus…saya panggil ‘predictive intelligence’, jadi tangkapan dapat dilakukan.

“Polis sentiasa menjalankan tugas mereka demi memastikan keselamatan negara ini terus terjamin,” katanya

— BERNAMA