FELDA
KUALA LUMPUR – Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) menerusi anak syarikatnya, FIC Properties Sdn Bhd, akan membeli 37 peratus kepentingan dalam syarikat Indonesia, PT Eagle High Plantations Tbk (EHP) pada harga US$505.4 juta (RM2.26 bilion).

Pembelian EHP yang juga antara syarikat perladangan terbesar Indonesia dan disenaraikan di bursa saham Jakarta, akan membolehkan FELDA memperoleh akses kepada tanah perladangan berkeluasan lebih 320,000 hektar atau kira-kira 4.4 kali saiz Singapura, termasuk lebih 125,000 hektar yang sudah ditanam dengan pokok sawit.

Dalam satu kenyataan hari ini, FELDA berkata ia sudah menandatangani Perjanjian Jual Beli (SPA) dengan Rajawali Group bagi pembelian kepentingan dalam EHP.

Bagaimanapun, jelas FELDA, maklumat lanjut mengenai pembelian itu tidak dapat diumumkan sekarang kerana SPA berkenaan tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa berkaitan di Malaysia dan Indonesia.

Ia sebaliknya menegaskan, keputusan pembelian itu adalah sejajar matlamat jangka panjangnya menjadi antara kumpulan minyak sawit terbesar dunia.

“Kita perlu terus berkembang kerana sebarang tindakan untuk kekal di takuk lama akan menjadikan FELDA ketinggalan ketika pesaing lain sebaliknya mencatat kemajuan dalam industri yang berkembang pesat ini.

“Bagi menjana pertumbuhan ini, FELDA perlu meneroka kawasan baharu di luar negara berikutan tanah perladangan di Malaysia yang kian terhad,” katanya.

Menurut FELDA, selain mendapat akses kepada lebih banyak ladang simpanan, pembelian EHP akan turut membuka peluang kepada FELDA dan syarikat-syarikat sekutunya mengembangkan perniagaan masing-masing di pasaran domestik di Indonesia.

FELDA juga yakin pembelian kepentingan EHP itu akan membawa kesan positif kepada industri dan negara ini.

“Pelaburan dalam sebuah syarikat yang juga penggiat minyak sawit utama di Indonesia ini dapat mengukuhkan lagi hubungan dua hala antara Malaysia dan Indonesia, sekaligus memacu agenda Majlis Negara-Negara Pengeluar Minyak Sawit (CPOPC) yang mana kedua-dua negara itu merupakan pengasasnya,” katanya.

— BERNAMA