Home Nasional KPDNKK pinda peraturan harga jualan murah

KPDNKK pinda peraturan harga jualan murah

Pengarah Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepengunaan (KPDNKK), Mohd Roslan Mahayuddin (tengah) diiringi Timbalan Pengarah Pencegahan dan Perisikan Bahagian Penguatkuasa KPNKK, Othman Nawang (kanan) Pengurus Besar Operasi GMS Bahagian Selatan, Mathavan Arjunan (kiri) melihat harga barangan kosmetik ketika membuat tinjauan kawalan harga sempena perayaan Krismas di AEON Cheras Selatan, Kuala Lumpur. foto SAFWAN MANSOR, 23 DISEMBER 2016
Mohd Roslan Mahayudin (tengah) memeriksa harga barangan kosmetik ketika melakukan lawatan ke pasaraya AEON Cheras Selatan, di Kuala Lumpur. foto SAFWAN MANSOR, 23 DISEMBER 2016

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) telah membuat pindaan beberapa peruntukan dalam Peraturan-Peraturan Perihal Dagangan (Harga Jualan Murah) 1997.

Pengarah Penguatkuasa KPDNKK, Mohd. Roslan Mahayudin berkata, penguatkuasaan pindaan peraturan yang membabitkan premis dan peniaga bermula pada 1 Janauari ini.

Katanya, ia merupakan inisiatif kerajaan dalam usaha agar meningkatkan kecekapan pelaksanaan jualan murah.

Ujarnya, peraturan yang digunapakai sekarang adalah melakukan tiga jualan murah, mengikut ketetapan kerajaan, manakala dua jualan murah lagi sebagai pilihan kepada peniaga.

“Tetapi, perkara utama yang dipinda dibawah peraturan itu adalah bilangan jualan murah yang boleh diadakan oleh peniaga adalah sebanyak 4 kali dalam setahun.

“Mulai 1 Januari nanti, tiga jualan murah adalah mengikut tarikh yang telah diwartakan kerajaan manakala dan satu kali pada mana-mana hari atas pilihan peniaga sendiri,” katanya dalam sidang media di Balakong hari ini.

Tambah beliau, mengikut peraturan baharu, jualan awal tahun adalah pada 1 hingga 30 Mac, Karnival Jualan Mega 1 Malaysia (15 Jun hingga 31 Ogos 2017) dan Jualan Akhir Tahun 1 Malaysia (31 Disember 2017).

Ditanya mengenai premis baharu yang menjalankan jualan promosi istimewa sempena pembukaan, Mohd. Roslan berkata, mereka dilarang berbuat demikian kecuali mempamerkan dua harga (harga lama dan baharu).

“Mereka yang membuka premis baharu dan mengadakan jualan promosi, memang tak boleh, biasanya barang baharu jika lihat di Pusat beli belah AEON, dia letakkan tanda ‘New Arrival” tanpa promosi jualan murah, itu betul.

“Jadi dwi harga (lama dan promosi) tidak dibenarkan, kecuali dengan syarat dia hanya pamerkan satu tanda harga sahaja, dan ia akan jatuh dalam kategori jualan pilihan peniaga,” ujarnya.

Justeru ujar beliau, jumlah barangan yang ditawarkan harga jualan murah hendaklah sekurang-kurangnya 50 peratus daripada jumlah barangan yang dijual di sesebuah premis. – MalaysiaGazette