Anifah Aman meraikan tetamu majlis resepsi di pejabat Perwakilan Tetap Malaysia ke PBB di New York.

Malaysia menamatkan keanggotaannya sebagai ahli tidak tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dengan menganjurkan majlis resepsi di pejabat Perwakilan Tetap Malaysia ke PBB di New York pada 22 Disember 2016.

Majlis resepsi itu dianjurkan Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman untuk merakamkan penghargaan negara kepada wakil-wakil anggota Majlis Keselamatan PBB, negara-negara anggota PBB, Sekretariat PBB, pertubuhan antarabangsa, pertubuhan masyarakat madani dan pertubuhan bukan kerajaan.

Ia juga sebagai tanda penghargaan di atas kerjasama erat dan sokongan mereka kepada Malaysia sepanjang dua tahun keanggotaan di Majlis Keselamatan PBB.

“Kerjasama yang telah diberikan oleh semua pihak telah membantu Malaysia dalam melaksanakan tanggungjawab di Majlis Keselamatan PBB dengan cemerlang,’ katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah beliau, sepanjang dua tahun (2015-2016) Malaysia telah melaksanakan beberapa inisiatif penting termasuk melindungi kanak-kanak daripada penculikan di dalam situasi konflik bersenjata, ketak cambahan senjata pemusnah besar-besaran kepada pelaku bukan negara.

“Selain itu, isu Palestin; pembinaan keamanan di negara-negara pasca konflik; dan kesan pelbagai perubahan iklim terhadap keamanan dan keselamatan antarabangsa.

“Malaysia amat berpuas hati apabila inisiatif-inisiatif negara ini telah diterima baik oleh semua pihak sama ada di dalam atau di luar PBB,” ujarnya.

Resepsi tersebut telah menerima sambutan yang memberangsangkan, dengan juadah Malaysia sebagai tarikan tambahan kepada para tetamu yang hadir. – MalaysiaGazette