Pesawat Airbus, A320 milik Afriqiyah Airways yang dirampas berada di landasan terbang di Malta.

Perampas yang menerbangkan sebuah pesawat Libya ke Malta bersetuju untuk membebaskan 25 wanita dan kanak-kanak, kini rundingan mengenai nasib lebih daripada 90 orang yang masih berada dalam pesawat sedang dilakukan, kata Perdana Menteri negara itu, Joseph Muscat.

Terdapat 118 orang berada dalam pesawat Airbus, A320 milik Afriqiyah Airways apabila ia dirampas ketika melakukan penerbangan domestik antara Sabha dan Tripoli.

Dua perampas mendakwa memiliki bom tangan, lapor Times of Malta, namun adalah tidak jelas permintaan mereka.

Rundingan sedang dilakukan pada awal petang dan pembebasan pertama diumumkan selepas Muscat berhubung dengan rakan sejawatnya di Libya, Faez al Serraj.

“Kumpulan pertama penumpang yang mengadungi wanita dan kanak -kanak sedang dibebaskan sekarang,” kata Muscat dalam akaun Twitter tanpa memberi maklumat terperinci keadaan mereka yang dibebaskan.

Semua penerbangan ke dan dari lapangan terbang itu dibatalkan atau dilencongkan dan pihak keselamatan berkumpul berhampiran pesawat terbabit yang diletakkan di landasan terbang dengan enjinnya masih hidup sejak ia mendarat.

Terdahulu Muscat berkata, operasi menyelamat dan kecemasan dalam keadaan siap siaga. Presiden Malta, Marie-Louise Coleiro Preca meminta semua pihak bertenang.

Seorang pegawai keselamatan kanan Libya memberitahu Reuters juruterbang pesawat itu memaklumkan menara kawalan Lapangan Terbang Mitiga di Tripoli bahawa pesawat kendaliannya telah dirampas ketika dalam penerbangan pada pagi Jumaat.

“Juruterbang itu melaporkan kepada menara kawalan di Tripoli bahawa mereka telah dirampas dan kemudian mereka terputus hubungan dengan kami,” kata pegawai yang tidak mahu dikenali itu.

“Jurterbang itu berusaha keras untuk meyakinkan mereka (perampas) untuk mendarat di destinasi yang betul namun mereka menolaknya,”.

Malta terletak 350 kilometer ke utara Tripoli dan berhampiran Tunisia yang menjadi destinasi perampas sebelum ini.

Pada 1985 sebuah pesawat EgyptAir yang dalam penerbangan dari Athens ke Kaherah dipaksa mendarat di Malta, menyaksikan 60 tebusan terbunuh dalam pengalaman pahit yang berlangsung selama 24 jam apabila komando Mesir menyerbu pesawat itu.

Sedekat sebelum itu, Perdana Menteri ketika itu, Dom Mintoff berjaya berunding dengan perampas. Sebuah pesawat KLM yang dalam penerbangan dari Amsterdam ke Tokyo dirampas di ruang udara Iraq yang kemudiannya terbang ke Malta selepas permintaan untuk mendarat di ditempat lain ditolak.

Mintoff berjaya membebaskan 247 penumpang dan lapan anak kapal bagi pertukaran bahan bakar dan pesawat tersebut mendarat di Dubai di mana baki tebusan dibebaskan. – The Guardian