Wabak Covid-19 berulang di Jepun kerana negara ini masih membuka pintu kemasukan warga luar untuk menyambut pesta musim bunga.

KUALA LUMPUR – Cuaca ekstrem dengan penurunan salji yang mencecah 96 sentimeter di Hokkaido, Jepun telah menyebabkan ramai rakyat Malaysia yang melancong ke negara Sakura itu terperangkap.

Daripadanya, sebanyak 288 pelancong yang mengikuti rombongan Apple Travel terpaksa menundakan perjalanan pulang apabila penerbangan sewa khas yang dijadualkan membawa mereka ke Malaysia pada 22 Disember terkandas.

“Mereka berlepas ke Jepun pada 18 Disember dan dijadualkan pulang pada 22 Disember. Mereka yang terkandas di Jepun ditempatkan di hotel.

“Tetapi kapal terbang juga tidak dapat berlepas selepas mereka terkandas sehari. Jalan-jalan raya telah disumbat oleh timbunan salji dan tidak dapat dilalui oleh bas,” kata Pengarah Urusan Apple Vacations & Conventions Sdn. Bhd., Lee San seperti dipetik China Press.

Lee San berkata, walaupun pelancong berkenaan sudah menaiki pesawat pada Sabtu tetapi masih menunggu masa untuk berlepas setakat pukul 4 petang.

Jelasnya, keadaan itu berlaku kerana hanya terdapat dua landasan yang dapat berfungsi secara normal.

Katanya lagi, kumpulan pelancong yang tiba di Hokkaido pada 22 Disember pula terkandas di jalan sehingga ada yang masih belum sempat sampai ke hotel.

Menurutnya, walaupun hotel disediakan, tetapi pelancong tersebut terpaksa bermalam di lapangan terbang kerana pengangkutan jalan yang lumpuh ekoran timbunan salji tebal.