TAN SRI SM SALIM

KUALA LUMPUR – Penyanyi legenda tanah air, Tan Sri SM Salim, 88, kini dalam keadaan nazak akibat sakit tua.

Anak sulung penyanyi itu, Siti Noraishah, 60, memberitahu Bernama, bapanya dalam keadaan tenat sejak pukul 3 pagi tadi hingga perlu diberi alat bantuan pernafasan.

“Selepas diberi alat bantuan, abah sudah boleh bernafas seperti normal, namun sejak pukul 8 pagi tadi abah mula menunjukkan tanda-tanda kritikal. Sehingga kini, ramai sanak saudara dan sahabat yang datang menziarah dan membaca surah Yassin untuk beliau,” katanya.

Menurut Aishah, kesemua anggota keluarga sudah dipanggil pulang dan doktor yang merawat ayahnya itu menjelaskan bahawa sudah tiada apa yang boleh dilakukan kerana keadaan ayahnya sudah terlalu uzur.

“Kami sekeluarga hanya berserah kepada Allah,” katanya.

Tan Sri SM Salim atau nama sebenarnya, Sheikh Salim Sheikh Muhammad Al Mahros memulakan kariernya sebagai penyanyi sejak 1957 dan merupakan penyanyi lagu-lagu Melayu klasik.

Penyanyi veteran itu lumpuh akibat sakit saraf dan hanya bergantung pada kerusi roda sejak 17 tahun lepas.

— BERNAMA