Terminal Bersepadu Selatan
KUANTAN – Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) menggalakkan penumpang bas ekspres untuk membuat laporankepada surujanjaya itu berkaitan kesalahan dilakukan pemandu bagi menjamin keselamatan penumpang.

Pengurus Besar Kanan Bahagian Penguatkuasaan SPAD Datuk Che Hasni Che Ahmad berkata terdapat talian hotline SPAD di setiap bas ekspres yang berfungsi 24 jam setiap hari.

“Kita memang menggalakkan penumpang untuk membuat laporan kepada SPAD terhadap kesalahan yang dikesan yang boleh membahayakan penumpang…sebab itu diletakkan nombor telefon (SPAD) di dalam bas supaya tindakan dapat diambil.

“Penumpang bagaimanapun perlu membantu dengan memberi maklumat lengkap iaitu 4 Wife dan 1 Husband iaitu when (bila), where (di mana), what (apa) who (siapa) dan how (bagaimana),” katanya.

Che Hasni berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau operasi khas pemeriksaan bas ekspres sempena Krismas dan Tahun Baharu di Terminal Sentral Kuantan di sini, malam tadi.

Beliau berkata, jika benar aduan yang didakwa, SPAD boleh mengambil tindakan terus dengan menghubungi pengusaha bas ekspres berkenaan.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan semua pemandu bas ekspres agar mengutamakan faktor keselamatan penumpang yang dibawa dan keselamatan nyawa pengguna jalan raya lain.

Che Hasni juga memaklumkan SPAD telah mengambil keterangan pemandu bas ekspres yang menggunakan telefon bimbit dan menghisap rokok yang rakaman videonya tersebar di laman sosial.

“Pegawai penguat kuasa juga mengambil keterangan pengarah syarikat pengendali bas itu dan keterangan pengadu. Kertas siasatan berkaitan juga telah siap diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara bagi tindakan seterusnya,” katanya.

Che Hasni berkata SPAD juga akan membuat tindakan audit khas terhadap mana-mana bas ekspres yang mempunyai banyak kesalahan, bagaimanapun enggan mengulas lanjut buat masa ini.

— BERNAMA