Home Ekonomi BNM terbit dokumen polisi kadar KLIBOR

BNM terbit dokumen polisi kadar KLIBOR

AINUL ASNIERA AHSAN

KUALA LUMPUR – Bank Negara Malaysia baru-baru ini mengeluarkan standard yang dipertingkat untuk Dokumen Dasar Penetapan Kadar KLIBOR (Kadar Tawaran Antara Bank Kuala Lumpur) yang turut melibatkan langkah untuk terus mengukuhkan integriti kadar rujukan KLIBOR.

Pengenalan langkah ini berikutan satu kajian semula proses penetapan kadar KLIBOR dan secara umumnya merangkumi bidang tadbir urus, pengawasan, akauntabiliti, dan ketelusan.

Langkah-langkah ini menyelaraskan dokumen dasar KLIBOR dengan amalan antarabangsa di bawah Prinsip Tanda Aras Kewangan yang dikeluarkan International Organization of Securities Commission (yang dikenali sebagai Prinsip IOSCO).

Bank Negara Malaysia dalam kenyataannya berkata, dokumen dasar ini juga menggariskan pemberhentian berperingkat KLIBOR bertempoh 9 bulan berkuat kuasa mulai 1 Januari 2018.

Langkah ini diputuskan setelah mendapat maklum balas daripada industri dan setelah mengambil kira permintaan pasaran terhad, kerelevanan dan kecukupan data transaksi bagi menyokong proses penetapan kadar KLIBOR 9-bulan.

Dalam tempoh peralihan mulai 1 Januari 2017, semua peserta pasaran yang mempunyai perjanjian kontrak sedia ada yang merujuk kepada KLIBOR 9 bulan dikehendaki mengkaji semula perjanjian masing-masing untuk memberikan mekanisme alternatif kepada pelanggan mereka.

Ini termasuklah penggunaan tanda aras lain, interpolasi tempoh KLIBOR sedia ada, atau mana-mana mekanisme lain yang dipersetujui bersama.

Perjanjian kontrak baharu tidak perlu lagi merujuk kepada KLIBOR bertempoh 9 bulan.

Setelah berunding, Bank Negera Malaysia akan bekerjasama dengan industri kewangan untuk memastikan pelaksanaan rangka kerja penetapan kadar KLIBOR berjalan lancar.

Jika perlu, Bank akan memberikan bimbingan selanjutnya kepada peserta pasaran semasa tempoh fasa peralihan daripada pemberhentian KLIBOR bertempoh 9 bulan kepada mekanisme alternatif. – MalaysiaGazette