Azalina Othman Said

KUALA LUMPUR – Tindakan tegas perlu diambil kepada mana-mana penjawat awam atau bekas penjawat awam yang cuba menggunakan kedudukan untuk membuat kenyataan atau berkelakuan yang boleh mendatangkan fitnah, sekaligus memberi persepsi buruk terhadap kerajaan hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said menegaskan, di bawah Peraturan 19, Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 yang memperuntukkan bahawa tiada penyata atau komen dibenarkan untuk menerbitkan atau bercakap tanpa persetujuan terlebih dahulu daripada Menteri yang bertanggungjawab atau jabatan.

Katanya, rasional pelaksanaan peraturan itu adalah bagi mengelakkan salah faham dari sumber yang tidak sah berhubung keputusan kerajaan.

“Peraturan ini terpakai kepada semua kakitangan awam yang masih dalam perkhidmatan,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini hari ini.

Menurut Azalina, mereka yang bersara daripada perkhidmatan juga masih tertakluk kepada Akta Rahsia Rasmi 1972 (Akta 88) yang memperuntukkan kesalahan berhubungan dengan pendedahan yang tidak dibenarkan berkaitan rahsia rasmi.

Jelas beliau, peruntukan di bawah Akta 88 diwujudkan bagi suatu kesalahan jika seseorang mendedahkan maklumat rahsia rasmi yang diperoleh semasa perkhidmatan selepas bersara.

“Semua kakitangan kerajaan perlu mematuhi peraturan dan undang-undang yang ditetapkan untuk memastikan tiada salah faham timbul di kalangan orang ramai,” ujar beliau. – MalaysiaGazette