James Rodriguez

Bintang kelab gergasi La Liga Sepanyol,  Real Madrid, James Rodriguez kini dikatakan akan berhijrah ke Manchester United.

Bagaimanapun, kelab juara Eropah musim lalu telah memberi kata dua tentang kedudukan pemain antarabangsa Columbia itu, menurut The Sun.

Laporan di Sepanyol berkata, pemain itu akan kekal bersama Real Madrid sehingga akhir musim ini.

Walaupun pemain itu dikaitkan dengan penghijrahan ke Old Trafford ekoran kurang peluang beraksi dalam kesebelasan utama, dia tidak akan meninggalkan kelab sepanjang Januari ini.

Selain itu, perpindahan juga tidak dibenarkan kerana Real Madrid sedang menjalani penggantungan perpindahan pemain sehingga akhir musim ini.

Disember lalu, Rodriguez dilaporkan sedang memikirkan masa depan bersama kelab lain tetapi tiada sebarang tawaran yang diterima setakat ini dan Real Madrid masih mahu dia kekal sehingga akhir musim.

Pengurus The Red Devils, Jose Mourinho mahu membawa masuk pemain berkelas dunia ke Old Trafford selepas membeli Paul Pogba, Zlatan Ibrahimovic, Henrikh Mkhitaryan dan Eric Bailly musim lalu.

Kini Jose Mourinho juga dikaitkan dengan pembelian dua bintang Atletico Madrid, Antoine Griezmann dan Saul Niguez. – MalaysiaGazette