Jemaah haji Malaysia sedang beratur untuk menaiki bas ke KLIA. Gambar hiasan

JEDDAH – Arab Saudi memutuskan untuk menarik balik pengurangan kuota jemaah haji dikenakan lima tahun lalu mulai tahun ini.

Pihak berkuasa telah meluluskan cadangan oleh Putera Mahkota Muhammad Bin Naif, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri yang juga Pengerusi Jawatankuasa Tertinggi Haji, untuk mengembalikan kuota haji.

Menteri Haji dan Umrah mengucapkan terima kasih kepada Penjaga Dua Masjid Suci, Raja Salman, Putera Mahkota Muhammad dan Timbalan Putera Mahkota Muhammad Bin Salman untuk menarik balik pengurangan kuota haji bagi kedua-dua jemaah tempatan dan asing.

Beliau berkata, pihak berkuasa berkenaan telah membuat persiapan untuk menerima jumlah tambahan jemaah haji pada musim akan datang.

Menteri Haji dan Umrah itu berkata demikian ketika menerima ketua delegasi haji dari negara-negara Arab dan Islam di pejabatnya di Jeddah.

Pihak berkuasa Arab Saudi telah mengurangkan 20 peratus kuota untuk jemaah dari luar negara dari setiap negara.

Manakala bilangan jemaah haji Arab Saudi dikurangkan sebanyak 50 peratus untuk memastikan keselamatan jemaah semasa pembesaran Masjidil Haram yang hampir siap, serta perluasan mataf (kawasan tawaf di sekeliling Kaabah) dan projek-projek besar-besaran di tapak suci itu.

Putera Mahkota Muhammad mengarahkan peningkatan bilangan jemaah haji dikembalikan secara berperingkat.

Menurut Putera Muhammad, jumlah sebenar jemaah haji dari setiap negara akan ditentukan oleh Kementerian Haji dan Umrah.

Bagaimanapun, beliau memberi jaminan bahawa kuota untuk setiap negara akan dikekalkan, di bawah sistem kuota yang berkuat kuasa sejak berdekad yang lalu iaitu hanya satu jemaah haji bagi setiap 1,000 warga Muslim. – MalaysiaGazette