Home Nasional Kakitangan Eaglexpress selamat tiba di KLIA

Kakitangan Eaglexpress selamat tiba di KLIA

Pesawat Eaglexpress yang membawa balik kakitangan dari Jeddah selamat tiba di KLIA kira-kira pukul 10.30 pagi tadi.

KUALA LUMPUR – Kira-kira 60 orang kakitangan Eaglexpress Air Charter Sdn. Bhd. yang berpangkalan di Jeddah selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabansga Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 10.30 pagi tadi.

Sumber memberitahu, pesawat Boeing, B747 itu berlepas dari Jeddah pada pukul 2 pagi waktu Malaysia.

“Baru sahaja tiba,” kata seorang kakitangan Eaglexpress kepada MalaysiaGazette.

Eaglexpress adalah syarikat penerbangan sewa yang menjalinkan kerjasama dengan Saudi Arabia Airlines bagi membawa jemaah umrah dan haji.

Pekerja-pekerja mengangkat barangan milik kakitangan Eaglexpress untuk dibawa ke lapangan terbang Jeddah.
Pekerja-pekerja mengangkat barangan milik kakitangan Eaglexpress petang semalam untuk dibawa ke lapangan terbang Jeddah.

Pada 20 Disember lalu, Suruhanjaya Penerbangan Awam Malaysia (Mavcom) mengumumkan pembatalan Lesen Perkhidmatan Udara (ASP) Eaglexpress yang berkuatkuasa 21 Disember.

Dengan pembatalan ASP ini, Eaglexpress dilarang untuk membawa melalui udara atau menggunakan mana-mana pesawat bagi membawa penumpang, mel atau kargo untuk sewa atau upah dalam perjalanan tidak berjadual sama ada di laluan domestik atau antarabangsa.

Jika syarikat penerbangan tersebut terus menjalankan perkhidmatan sedemikian, ia merupakan suatu kesalahan di bawah Akta Suruhanjaya Penerbangan Malaysia 2015 (Akta 771).

ASP Eaglexpress dibatalkan berkuatkuasa 21 Disember 2016.

Isu kakitangan Eaglexpress menjadi perhatian media kerana ada dalam kalangan kakitangannya yang berada di Jeddah telah tamat tempoh visa kerana mereka sepatutnya balik ke Malaysia pada Oktober lalu.

Syarikat penerbangan ini mendapat liputan selepas kakitangan mendakwa Eaglexpress tidak membayar gaji pada awal tahun lalu disebabkan mengalami kerugian AS$30 juta selepas syarikat itu tidak dapat beroperasi antara empat dan lima bulan kerana tidak memiliki Audit Keselamatan Operasi IATA (IOSA).

IOSA dikuatkuasakan dalam industri penerbangan di Arab Saudi adalah penanda aras pengurusan keselamatan global bagi syarikat penerbangan.

Eaglexpress diwajibkan memilikinya kerana syarikat penerbangan itu disewa oleh Saudia untuk membawa jemaah haji dan umrah bagi syarikat berkenaan.

Syarikat penerbangan sewa khas itu hanya memperoleh IOSA pada Mei lalu dan beroperasi semula pada Julai lepas.

Berikutan masalah itu, kakitangan Eaglexpress mendakwa syarikat penerbangan tersebut tidak membayar tunggakan elaun, tidak menjelaskan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan Pekeso.

Setakat ini, difahamkan syarikat itu masih belum menjelaskan tiga bulan gaji asas kakitangan sejak Oktober lalu. – MalaysiaGazette