Hew Kuan Yew

KUALA LUMPUR – Bekas pemimpin DAP yang lebih dikenali sebagai Superman DAP buat hal lagi.

Kali ini kenyataan Hew Kuan Yau baru-baru ini mengenai jika mahu memberi bantuan kepada mangsa banjir di Kelantan perlu sijil halal atau tidak menimbulkan kemarahan ramai.

Naib Presiden Parti Cintai Malaysia, Datuk Huan Cheng Guan menyifatkan kenyataan Kuan Yau berniat menyakitkan hati mangsa-mangsa banjir di negeri Pantai Timur.

“Apa yang beliau cuba buktikan sehingga terlalu dangkal fikirannya?

Umum mengetahui, kebiasaannya barangan atau makanan yang hendak disumbangkan kepada mangsa banjir adalah dalam kategori umum iaitu boleh serta sesuai digunakan dan dimakan oleh sesiapa saja tanpa mengira fahaman agama atau lebih mudah difahami, ianya mesti halal.

“Secara peribadi saya mengecam kenyataan tidak berilmu daripada Kuan Yau. Tak perlu keluarkan kenyataan yang boleh dianggap menghina sebegini. Sekurang-kurangnya hormat keadaan mangsa yang amat memerlukan sokongan rakyat Malaysia untuk meneruskan hari-hari mendatang,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Menurut Cheng Guan, mangsa-mangsa banjir bukan saja terdiri daripada bangsa Melayu tetapi pelbagai latar belakang kaum dan keturunan.

“Kuan Yau perlu simpan sedikit sifat kebodohannya daripada terlihat seperti kenyataan hari ini. Apa yang perlu diketahui oleh beliau adalah, tanpa bantuan daripada DAP atau rakyat, kerajaan Persekutuan dan banyak pihak dan NGO masih boleh membantu mangsa-mangsa banjir di sana,” katanya.-MalaysiaGazette