Home Dunia Lelaki lepas tembakan didakwa ada masalah mental

Lelaki lepas tembakan didakwa ada masalah mental

Lelaki yang disyaki melepaskan tembakan maut di lapangan terbang Florida telah didakwa hari ini.

Esteban Santiago, 26, dituduh melepaskan tembakan di Lapangan Terbang Fort Lauderdale, membunuh lima orang dan mencederakan enam yang lain.

Dia didakwa melakukan tindakan keganasan di lapangan terbang itu hingga mengakibatkan kematian dan jika sabit kesalahan Santiago boleh dikenakan hukuman maksimum.

Santiago juga menghadapi tuduhan senjata lebih rendah.

Menurut dokumen mahkamah, beliau telah merancang serangan itu.

Setakat ini, pihak-pihak berkuasa tidak tahu mengapa lapangan terbang berkenaan menjadi sasarannya namun mereka menolak sebarang pelakukan pengganas dalam kes itu.

“Pendakwaan hari ini mewakili realiti ini dan mencerminkan komitmen anggota penguatkuasa undang-undang persekutuan, negeri dan tempatan untuk terus melindungi masyarakat dan mendakwa mereka yang mensasarkan penduduk dan pengunjung,” kata Pendakwa Raya Amerika, Wifredo Ferrer.

Santiago menggunakan pistol semi-automatik yang diperiksa secara sah dalam penerbangan dari Alaska.

Beliau memberitahu penyiasat bahawa dia telah membeli tiket sehala ke Fort Lauderdale, menurut biro aduan persekutuan.

Penyiasat juga melihat sama ada masalah kesihatan mental menjadi faktor saspek bertindak demikian dan beliau telah dirujuk untuk penilaian mental oleh Biro Siasatan Persekutuan (FBI).

Santiago merupakan bekas pekerja Pengawal Kebangsaan di Puerto Rico dan Alaska, menurut Pentagon.

Beliau pernah berkhidmat di Iraq dari April 2010 hingga Februari 2011 dan perkhidmatannya berakhir pada Ogos 2016.

Ibu saudaranya memberitahu, Santiago “hilang fikiran” semasa berkhidmat di Iraq, dan adiknya berkata, beliau telah menerima rawatan psikologi baru-baru ini.

Media Amerika Syarikat pula melaporkan Santiago telah menerima pelepasan umum dari Pengawal Kebangsaan Alaska kerana prestasi yang tidak memuaskan. – MalaysiaGazette