Home Nasional Mangsa banjir di Kelantan turun kepada 4,695 orang

Mangsa banjir di Kelantan turun kepada 4,695 orang

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak beramah mesra dengan kanak-kanak mangsa banjir sempena lawatan beliau di pusat pemindahan banjir di Sekolah Kebangsaan (SK) Bunohan hari ini. Foto BERNAMA

KOTA BHARU – Jumlah mangsa banjir di Kelantan turun sedikit kepada 4,695 orang setakat 8 pagi ini berbanding 4,770 malam tadi.

Menurut Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menerusi aplikasi Infobanjir, 14 pusat pemindahan masih dibuka bagi menempatkan mangsa banjir di jajahan Tumpat dan Pasir Mas.

Jumlah mangsa paling ramai ialah di Tumpat dengan 2,794 orang daripada 943 keluarga di tujuh pusat pemindahan, manakala Pasir Mas menempatkan 1,901 mangsa daripada 639 keluarga di tujuh pusat pemindahan.

Menurut laman web kerajaan negeri di http://ebanjir.kelantan.gov.my,  paras air di Sungai Golok di Rantau Panjang kini di bawah paras bahaya 9.0 meter dengan trend penurunan iaitu 8.87 meter berbanding 9.15 meter malam tadi.

Bacaan paras air Sungai Kelantan di Jambatan Guillemard, Tanah Merah pula turun kepada 12.53 meter berbanding 12.83 meter malam tadi tetapi masih di bawah paras bahaya 16 meter, manakala paras air sungai utama yang lain telah kembali ke paras normal.

Di TERENGGANU Jumlah mangsa banjir pagi ini meningkat sedikit kepada 1,460 orang daripada 331 keluarga berbanding 1,275 orang merangkumi 305 keluarga malam tadi.

Peningkatan itu dicatat di daerah Kuala Terengganu yang merekodkan 1,362 orang daripada 304 keluarga berbanding 1,169 orang daripada 274 keluarga malam tadi.

Menurut Jabatan Kebajikan Masyarakat menerusi Infobanjir, Dungun mencatatkan penurunan dengan hanya 78 mangsa (20 keluarga) masih berada di pusat pemindahan Sekolah Kebangsaan (SK) Durian Metangau berbanding 89 orang daripada 23 keluarga malam tadi.

Di Marang pula, jumlah terkini mangsa yang ditempatkan di SK Pasir Putih berkurang kepada 21 mangsa merangkumi tujuh keluarga selepas empat orang daripada sebuah keluarga dibenar pulang ke rumah mereka. – MalaysiaGazette