Pemangku Naib Presiden BERJASA, Ali Dina (tengah) bersama Presiden BERJASA, Datuk Seri Dr. Mustapa Kamal Maulut.

KUALA LUMPUR- Dakwaan ke atas Datuk Seri Dr. Mustapa Kamal Maulut merupakan mainan pihak tertentu yang mahu menjatuhkan Presiden Parti BERJASA.

Pemangku Naib Presidennya, Ali Dina berkata, pihaknya juga tidak pernah mengisytiharkan untuk tidak menentang Barisan Nasional (BN) seperti didakwa.

Bagaimanapun beliau enggan mengulas lanjut kerana sidang media bagi menjawab dakwaan itu akan dibuat Mustapa sebaik sahaja balik ke negara ini dari Bangladesh tidak lama lagi.

“Dia (Mustapa) balik 13 Januari ini dan 17 Januari ada perjumpaan dengan RoS, mungkin selepas itu akan buat sidang media,” ujarnya kepada Malaysia Gazette di sini petang tadi.

Ali berkata demikian mengulas dakwaan Datuk Hashim Karim baru-baru ini yang mendakwa menjadi timbalan presiden parti itu dan mendakwa presiden Parti BERJASA ialah Abd. Kadir Mamat bukan Mustapa.

Malah Hashim menegaskan Mustafa bukan sahaja tidak pernah menjadi barisan kepimpinan BERJASA malah bukan seorang ahli parti pun.

Katanya, segala keputusan dibuat oleh Mustafa tidak diiktiraf parti.-MalaysiaGazette