Hovid Berhad adalah pengeluar produk farmaseutikal dan herba.

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah membatalkan lesen pengilangan Hovid Berhad, susulan penarikan balik ubat tablet Ternonol 50mg keluarannya pada Jumaat lalu.

Berikutan itu, Hovid berkata, semua aktiviti pembuatan di kilangnya dihentikan.

Dalam notis kepada Bursa Malaysia, Hovid yang juga pembuat produk farmaseutikal dan herba berkata, surat pembatalan itu diterima daripada Bahagian Perkhidmatan Farmaseutikal (PSD) pada pukul 8.58 pagi.

PSD bertindak membatalkan lesen pembuatan bagi dua kilangnya di Perak selepas Jabatan Kawal Selia Farmaseutikal Kebangsaan (NPRA) pada Khamis minggu lalu mendapati Pematuhan Amalan Pengilangan Terbaik (cGMP) semasa Hovid tidak boleh diterima dan sistem kualiti farmaseutikal tidak mematuhi keperluan cGMP terkini.

Hovid berkata, syarikat itu akan melakukan pembetulan bagi mematuhi cGMP dikehendaki oleh NPRA menjelang akhir bulan ini dan akan menjemput NPRA untuk mengaudit kemudahan dan cGMP dengan segera.

Pengeluaran semula lesen tertakluk kepada keputusan hasil audit NPRA.

Hovid menambah, anak syarikat pengedarannya di Malaysia, Hong Kong dan Filipina akan terus memasarkan dan menjual stok-stok sedia ada.

Kaunter Hovid telah digantung daripada urus niaga pada pukul 11:23 pagi tadi dan dagangan disambung pada pukul 9 pagi esok.

Saham Hovid diniaga pada 34.5 sen sesaham sebelum digantung. – MalaysiaGazette