Home Nasional Siasatan elak industri beras terjejas

Siasatan elak industri beras terjejas

KUALA LUMPUR – Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani diminta menjalankan siasatan terperinci berhubung isu kadar pemotongan mutu padi sebelum membuat sebarang kenyataan dan tindakan lanjut.

Langkah itu perlu dilakukan supaya sebarang tindakan tidak berat sebelah dan menjejaskan industri beras negara.

Sumber industri mendakwa, isu kadar pemotongan mutu beras itu sengaja diperbesar-besarkan sedangkan seluruh industri – termasuk syarikat-syarikat swasta yang berkaitan dengan beras mengetahui isu itu lebih mendalam.

Katanya, seperti yang diketahui, Syarikat Beras Nasional (Bernas) tidak mengenakan kadar pemotongan mutu maksimum sehingga 50 peratus seperti yang didakwa oleh pihak-pihak tertentu.

Sebaliknya, kadar pemotongan yang dikenakan antara 30 hingga 40 peratus dan ia dibuat berdasarkan penelitian mutu padi yang dihantar, sebelum diproses menjadi beras.

“Jika padi yang dihantar macam kacang hijau atau pelbagai – ada warna kuning, merah, takkanlah Bernas hendak memberi penarafan seperti padi berkualiti tinggi.

“Belum lagi petani yang menghantar beras ropi (beras bergumpal seperti tali kerana sudah cendawan),” kata sumber yang terlibat dalam industri beras sejak lebih 30 tahun.

Beliau mendakwa para petani padi Malaysia sebenarnya beruntung kerana wujudnya Bernas yang memegang tanggungjawab membeli hasil padi negara.

Jika tanpa Bernas, belum tentu nasib petani padi sebaik sekarang kerana kualiti beras tempatan tidak setimpal dengan beras di luar negara.

Kerajaan menetapkan harga beras sebanyak RM2,100 setiap tan metrik bagi beras untuk Super Tempatan 15 (ST15).

Daripada harga yang ditetapkan itu pun, Bernas terpaksa menanggung kerugian dalam lingkungan RM300 setiap tan disebabkan pelbagai faktor.

Difahamkan Bernas sebenarnya menanggung kos yang lebih tinggi kerana membeli beras tempatan berbanding beras dari Vietnam dan Thailand yang jauh lebih murah.

Sedangkan pemborong beras swasta boleh mendapat beras setanding ST15 pada harga dalam lingkungan RM1,500 setiap tan dari negara-negara jiran.

Baru-baru ini, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman mahu tindakan tegas diambil terhadap Bernas termasuk kemungkinan menarik balik lesen import beras  jika kemelut kadar pemotongan pemutuan padi tidak diselesaikan.

Bernas adalah pengimport tunggal beras negara.

Beliau berkata demikian berikutan para petani menyatakan rasa tidak puas hati terhadap Bernas yang membuat kadar pemotongan bagi padi sehingga 50 peratus bagi setiap tan metrik pada musim lalu.

Berikutan itu, Tajuddin berkata, jika Bernas tidak dapat memenuhi tanggungjawab itu, beliau mencadangkan kerajaan menamatkan konsesi itu dan berikan kepada Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) yang mempunyai kaitan dengan petani. – MalaysiaGazette