Ketua Penerangan UMNO Selangor, Datuk Zein Isma Ismail

Politik dakwah diperjuangkan oleh UMNO manakala dakwah politik pula oleh Pas dan Parti Amanah Negara (PAN), kata Ketua Penerangan UMNO Selangor, Datuk Zein Isma.

Bagi PKR, Parti Pribumi Bersatu Malaysia dan DAP, tidak ada konsep sedemikian dalam perjuangan ketiga-tiga parti berkenaan, katanya.

“Politik dakwah bagi saya merujuk kepada tindakan ahli politik menjadikan wadah politik sebagai alat untuk berdakwah dan dengan itu politiklah membolehkan dakwah Islam dimartabatkan. Syariat Islam didaulatkan, agenda Islam dirancang dilaksanakan sebaiknya.

“Ini hasil politik dakwah yang diperjuangkan UMNO daripada dulu, kini dan Insya Allah selamanya,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Zein yang juga Ketua UMNO Bahagian Sepang memberitahu, bagi konsep dakwah politik pula merujuk kepada mereka yang meletakkan agenda dakwah untuk mencapai matlamat politik.

“Kerana itu mereka memperlihatkan imej diri sebagai pendakwah (ustaz dan ulama), menjadikan al Quran dan hadis sebagai alat dakwah demi mencapai matlamat untuk berkuasa,” jelasnya lagi.

Bagi Zein, politik dakwah menjaga agama sementara dakwah politik mempergunakan agama.-MalaysiaGazette