Sohaimi Shahdan

KUALA LUMPUR- Terima kasih Tun Dr. Mahathir Mohamad kerana mengakui kepentingan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan berhasrat mengekalkan program bantuan itu jika menang pilihan raya umum kelak.

Itu kenyataan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Sohaimi Shahadan ekoran ucapan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) semasa perasmian parti itu di Shah Alam semalam.

“Walaupun tidak mahu mengiktiraf secara jelas, namun, cadangan untuk mengekalkan BR1M pada majlis perasmian PPBM malam tadi di Shah Alam dengan beberapa cadangan pembaharuan kononnya, sudah cukup membuktikan BR1M adalah salah satu program bantuan yang berkesan untuk membantu rakyat miskin.

“Dengan kata lain, BR1M yang dilaksanakan kerajaan Barisan Nasional yang dipimin Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bukan berunsur rasuah seperti dimomokkan Mahathir sebelum ini.

“Jika rasuah, masakan Mahathir mahu mengekalkannya,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Sohaimi, cadangan untuk mengekalkan BR1M jika pembangkang menguasai kerajaan adalah bukti kesedaran pembangkang bahawa rakyat pelbagai kaum menerima baik BR1M dan pembangkang tahu mereka akan terkesan sekiranya tidak melaksanakan BR1M.

“Jika pembangkang mengakui kebaikan BR1M untuk rakyat, jadi tiada alasan untuk rakyat menukar kerajaan kerana apa yang dilaksanakan BN kini semuanya untuk manfaat rakyat.

“Oleh itu dalam hal ini siapa yang kesipuan? Dulu bukan main BR1M adalah rasuah, sekarang BR1M akan dikekalkan pula. Memang betul kata Mahathir memang Melayu mudah lupa,” katanya lagi.-MalaysiaGazette