Shahrir Abdul Samad

KUALA LUMPUR – Ahli parlimen kena menyumbang secara peribadi kepada Tabung Pahlawan terlebih dahulu sebelum mengajak orang ramai melakukan perkara yang sama.

Itu nasihat Pengerusi Kelab Penyokong Barisan Nasional (BNBBC), Tan Sri Sharir Samad.

Menurutnya, melalui teladan itu baru dana tabung membiayai veteran dan balu tentera dapat ditingkatkan.

“Kita harus hargai sumbangan veteran tentera dengan mengadakan kempen Tabung Pahlawan dan tahun lepas kita ajak ahli-ahli parlimen bersama dan berjaya kutip RM24,000 sumbangan peribadi dan ini kali pertama,” ujarnya selepas majlis menyerahkan sumbangan itu kepada Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) di sini hari ini.

PVATM diwakili oleh presidennya, Tan Sri Mohd. Anwar Mohd. Nor dan bekas Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Dr. Abdul Latif Ahmad.

Kempen kutipan Tabung Pahlawan secara peribadi daripada ahli parlimen itu pertama kali dilakukan pada tahun lepas dan akan dijadikan kempen tahunan.

“Walaupun hubungan mereka (ahli parlimen) ada di kawasan masing-masing tetapi ini (sumbangan) merupakan tugas kita kerana ia melibatkan satu kumpulan besar dan mereka orang-orang veteran,” katanya.

Ditanya sama ada sumbangan itu melibatkan ahli parlimen pembangkang, Shahrir menegaskan ia daripada wakil rakyat BN sahaja dan pembangkang boleh melakukan perkara yang sama dengan PVATM.

Ahli Parlimen Mersing, Datuk Dr. Abd. Latiff Ahmad pada sidang media selepas Majlis Penyampaian Replika Cek kepada  untuk derma tabung pahlawan Persatuan Veteran ATM di Parlimen, Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 16 JANUARI 2017

Sementara itu, Abdul Latif yang pernah menjadi penyelaras tabung yang sama berkata, setiap rakyat perlu menderma RM1 setiap orang dan komitmen itu dapat meningkatkan Tabung Pahlawan.

“Seperti di United Kingdom, mereka kutip 1 pound daripada 50 juta rakyat mereka dan mereka dapat 50 juta pound, kita kalau RM1 dan separuh daripada 30 juta rakyat Malaysia pun sudah memadai,” ujarnya.

Presiden Persatuan Veteran ATM, Senator Laksamana Tan Sri Mohd Anwar Mohd Noor bercakap pada sidang media selepas Majlis Penyampaian Replika Cek kepada  untuk derma tabung pahlawan Persatuan Veteran ATM di Parlimen, Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 16 JANUARI 2017

Bagi Mohd. Anwar, kutipan daripada Tabung Pahlawan akan disalurkan kepada veteran tentera yang benar-benar memerlukan dan selepas ini PVATM akan menyumbang kepada balu-balu tentera pula.-MalaysiaGazette