Home Ekonomi Bateri punca kebakaran Note 7

Bateri punca kebakaran Note 7

SEOUL – Kebakaran telefon pintar Galaxy Note 7 didapati berpunca daripada bateri, menurut sumber.

Samsung Electrinics Co. Ltd. dijangka memaklumkan keputusan siasatan kebakaran telefon itu pada 23 Januari ini, sebelum mengumumkan prestasi kewangan suku keempat.

Syarikat itu juga akan mengumumkan pendekatan baru yang digunakan bagi mengelakkan kegagalan keselamatan dalam produk-produknya pada masa depan, tambah sumber itu.

Bagaimanapun, Samsung enggan mengulas mengenai perkara itu.

Selepas kes kegagalan terbesar bagi produk teknologi, Samsung sentiasa memastikan tahap keselamatan terbaik bagi produk-produknya.

Ia bakal melancarkan Galaxy S8 pada separuh pertama tahun ini.

Pelabur dan penganalisis mengatakan ia adalah kritikal untuk Samsung untuk menyediakan laporan terperinci yang meyakinkan mengenai masalah pada Note 7 dan bagaimana ia dapat dielakkan daripada berulang.

Sumber itu memberitahu, Samsung berjaya mencari punca kebakaran semasa siasatan Note 7 dan punca kebakaran tidak boleh dijelaskan oleh reka bentuk perkakasan atau perkara-perkara berkaitan dengan perisian komputer.

Samsung terpaksa membatalkan pengeluaran Note 7 pada bulan Oktober lalu selepas gagal untuk menangani masalah sehingga menyebabkan terpaksa memanggil semula telefon pintar dalam pasaran, sekali gus menjejaskan keuntungan operasi pada suku ketiga sebanyak AS$5.2 bilion. – MalaysiaGazette