Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

JOHOR BAHRU – Ahli Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang perlu dihalau dari Johor kerana datang menumpang kesenangan hasil pembangunan pesat di negeri ini oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) yang diterajui UMNO selama ini.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Penasihat DAP itu sama seperti pemimpin pembangkang lain yang masuk ke kampung-kampung menjelang pilihan raya umum (PRU) untuk membuat fitnah dan memburukkan kerajaan.

Justeru tegasnyanya, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) jangan sesekali mengaku kalah kepada pihak pembangkang untuk terus membantu kerajaan menepis segala tohmahan.

“Saya rasa PRU sudah tidak lama lagi dan masyarakat kampung rata-ratanya orang Melayu sudah tidak ada pilihan untuk mempertahankan kerajaan Islam dan Melayu.

“Orang Melayu kena pilih pakatan kerajaan sedia yang ada iaitu BN yang diterajui UMNO atau satu lagi pakatan pembangkang diterajui DAP.

“Kalau dipimpin DAP, perlembagaannya jelas iaitu untuk mewujudkan kerajaan sekular bermakna tiada lagi keistimewaan untuk Islam,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perhimpunan JKKK Negeri Johor di sini hari ini.

Ismail menegaskan, Johor wajib dipertahankan kerana menjadi benteng akhir UMNO yang lahir di negeri ini.

Beliau berkata, orang Melayu perlu mengambil iktibar apa yang berlaku di Selangor apabila dibangunkan pesat oleh kerajaan namun hari ini diambil alih oleh pihak pembangkang.

“Jadi peranan JKKK penting untuk mengekalkan kuasa UMNO demi Islam dan Melayu. Jadi orang Melayu perlu melihat kepada gambaran luas apabila membuat keputusan.

“Saya akui mana ada kerajaan dan pemimpin yang sempurna. Jadi jika ada salah sikit yang berlaku, adakah perlu kita mengorbankan UMNO yang berjasa besar selama ini.

“Kita jangan mengorbankan nasib agama Islam dan UMNO hanya kerana marahkan kesilapan yang kecil. Apa yang kita kecapi hari ini semuanya hasil perjuangan UMNO,” katanya. — MalaysiaGazette