Shahrir Samad

KUALA LUMPUR – Selain saham dalam Maybank, Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) berhasrat menjual lebih banyak asetnya di dalam dan luar negara selepas ini.

Pengerusinya, Tan Sri Shahrir Abdul Samad berkata, hasil penjualan aset-aset tersebut akan digunakan antaranya untuk “menutup” kerugian Felda Investment Comittee (FIC) akibat salah tadbir urus.

Selain itu, hasil penjualan aset-aset tersebut juga akan digunakan untuk pengurusan Felda serta penerokanya.

Antara aset yang bakal dilupuskan ada hotel di luar negara serta pegangan-pegangan saham dalam syarikat-syarikat senaraian awam.

Shahrir mengakui rizab tunai Felda ketika ini adalah defisit.

“Ini kerana kami juga melabur tetapi pelaburan-pelaburan tersebut tidak memberikan aliran tunai yang baik.

“Maka kami terpaksa mencairkan aset-aset tersebut mengikut pernilaian semasa supaya kami boleh mengembalikan semula akaun seimbang kepada Felda serta membiayai aktiviti FIC yang sudah diketahui mengalami kerugiaan,” katanya semasa sidang media di sini hari ini.

Menurut Shahrir, keputusan untuk menjual aset-aset termasuk pegangan di dalam Maybank telah diputuskan oleh ahli lembaga pengarah Felda pada November lalu.

Shahrir bagaimanapun tidak mengetahui  berapa jumlah dana yang boleh diraih menerusi penjualan aset-aset Felda yang dibeli ketika “zaman mewah”.

“Aset-aset ini dibeli ketika Felda ada banyak duit. Felda tidak berhutang untuk memilikinya tetapi apabila mereka tidak memberikan pulangan yang sepatutnya maka kita boleh jual.

“Saya tidak tahu berapa yang akan diraih tetapi mandat untuk penjualannya telah diberikan pada November lalu. Sebelum saya menjadi Pengerusi,” katanya lagi.

Beliau menjangkakan sejumlah RM500 juta sehingga RM1 bilion boleh diraih hasil penjualan hotel di London yang akan dilakukan melalui bidaan.

Tambahnya, ketika ini beberapa pihak telah dilantik untuk menguruskan pernilaian hartanah tersebut.

Menyentuh mengenai penjualan saham Maybank yang telah dipegang sejak lebih 10 tahun lalu, Shahrir berkata, Felda tidak perlu menjadi terlalu sentimental dengan aset-aset yang tidak menunjukkan prestasi yang baik.

“Kami melepaskan aset yang tidak memberikan pulangan yang baik dan bukan perniagaan teras.

“Jika dilihat kepada saham Maybank, nilainya telah susut. Jangan jadi terlalu sentimental,” katanya lagi.

Tambah Shahrir, proses penjualan aset Felda merupakan satu proses yang berterusan mengikut mandat ahli lembaga pengarah- MalaysiaGazette