Home Ekonomi SC perkenal rangka baharu penyenaraian MOG

SC perkenal rangka baharu penyenaraian MOG

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) hari ini memperkenalkan satu rangka kerja baharu bagi penyenaraian syarikat Mineral, Minyak dan Gas (MOG) yang akan meluaskan peluang perniagaan tersebut untuk menyertai pasaran ekuiti.

Rangka kerja tersebut akan berkuat kuasa pada 20 Mac 2017 melalui pindaan kepada garis panduan berikut: Equity Guidelines, Prospectus Guidelines dan Asset Valuation Guidelines.

Garis panduan yang dipinda ini bertujuan memberi penjelasan mengenai jenis perniagaan MOG yang dianggap sesuai dan layak untuk disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia, terutamanya syarikat yang terlibat dalam penerokaan peringkat awal dan pengeluaran hasil MOG.

Ini termasuk keperluan kelayakan tambahan bagi syarikat MOG untuk penyenaraian di bursa tempatan, seperti menunjukkan aset MOG yang mencukupi di bawah portfolio mereka.

Rangka kerja baharu ini merangkumi penyenaraian syarikat MOG sama ada secara langsung melalui tawaran awam awal, secara tidak langsung melalui pemerolehan oleh syarikat tersenarai, atau pemerolehan yang layak oleh Syarikat Pemerolehan Kegunaan Khas (SPAC).

SC membangunkan rangka kerja ini susulan kajian menyeluruh, menanda aras bidang-bidang kuasa, sesi pembabitan bersama para pelabur dan pakar-pakar industri, serta melalui proses perundingan awam.

Langkah-langkah kawal selia baharu ini akan membolehkan pelabur membuat keputusan yang lebih baik berdasarkan maklumat berkenaan merit dan risiko melabur dalam perniagaan MOG, sejajar dengan mandat SC untuk memastikan pasaran modal yang adil dan teratur.

Garis panduan baharu ini juga menyediakan saluran pengumpulan dana tambahan kepada syarikat MOG dan seterusnya menambah pilihan pelaburan bagi para pelabur.

Garis Panduan yang disemak semula tersebut iaitu,Equity Guidelines, Prospectus Guidelines dan Asset Valuationboleh didapati di laman sesawang SC www.sc.com.my. – MalaysiaGazette