Ahli-ahli kelab peminat Siti Nurhaliza pada sesi pendaftaran pada program 'Moh Balik Lepih!' sempena ulangtahun Sitizone ke 13 di Sekolah Menengah Kebangsaan Clifford, Kuala Lipis, Pahang. foto FAREEZ FADZIL, 20 JANUARI 2017

KUALA LIPIS – Bagi menghargai sokongan peminatnya selama ini, penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza mempunyai cara tersendiri untuk meraikan mereka.

Buat pertama kalinya, Siti membawa seramai 162 ahli kelab peminat yang dikenali Sitizone ke kampung halamannya di Kuala Lipis, Pahang.

Program yang dikenali Moh Balik Lepih itu sempena ulangtahun ke-13 Sitizone yang berlangsung tiga hari bermula hari ini.

Lebih menarik, peminat yang hadir bukan sahaja dari Malaysia, bahkan ada yang sanggup datang dari Indonesia, Brunei dan Singapura.

Sepanjang program itu, pelbagai aktiviti diatur seperti cabaran sukan dan melawat beberapa tempat menarik di sekitar bandar ini serta majlis makan malam yang melibatkan persembahan di kalangan peminat mengikut pembahagian kumpulan.

Siti turut mengembalikan nostalgianya menerusi aktiviti yang diadakan di sekolah lamanya iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Clifford.

Jom Balik Lepih dianjurkan oleh Siti Nurhaliza Production dan Universal Music Malaysia.

Program ini turut mendapat kerjasama Majlis Daerah Lipis. – MalaysiaGazette