Sebanyak 35 pusat pemindahan dibuka di tujuh jajahan melibatkan Kota Bharu, Pasir Mas, Tanah Merah, Pasir Puteh, Tumpat, Bachok dan Machang.

KOTA BHARU – Mangsa banjir di Kelantan meningkat kepada 3,232 orang melibatkan 866 keluarga pada 8 pagi ini berbanding 527 mangsa daripada 207 keluarga malam tadi.

Menurut Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menerusi aplikasi Infobanjir, sebanyak 35 pusat pemindahan dibuka di tujuh jajahan melibatkan Kota Bharu, Pasir Mas, Tanah Merah, Pasir Puteh, Tumpat, Bachok dan Machang.

Di jajahan Kota Bharu, 1,345 mangsa daripada 341 keluarga ditempatkan di 10 pusat pemindahan banjir manakala 688 mangsa daripada 185 keluarga dipindahkan ke 13 pusat pemindahan di Pasir Mas.

Jajahan Tumpat pula merekodkan 72 mangsa daripada 19 keluarga yang ditempatkan di sebuah pusat pemindahan, manakala Bachok melibatkan 295 mangsa daripada 86 keluarga, juga ditempatkan di sebuah pusat pemindahan.

Seramai 99 mangsa daripada 27 keluarga ditempatkan di tiga pusat pemindahan di jajahan Tanah Merah, manakala Pasir Puteh merekodkan 632 mangsa daripada 180 keluarga di enam pusat pemindahan serta 101 mangsa daripada 28 keluarga berada di sebuah pusat pemindahan di Machang.

Sementara itu, menurut portal Kerajaan Negeri Kelantan di http://ebanjir.kelantan.gov.my, paras Sungai Golok di Rantau Panjang berada pada 9.95 meter pada pukul 8 pagi ini berbanding paras amaran 9 meter.

Sungai-sungai yang lain masih berada pada tahap normal.

— BERNAMA