KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kata kecenderungan pegawai kerajaan menjadi perasuah antaranya ialah kegemaran bermain golf.

baru-baru ini, kerajaan Kedah juga melarang kakitangannya menyertai perlawanan golf yang ditaja.

Umum mengetahui golf daripada dahulu merupakan kegemaran golongan elit dan menjadikan sukan itu sebagai medium perbincangan tidak formal.

Banyak keputusan awal dapat dibuat di padang golf.

Namun dalam kecoh-kecoh itu, ada satu pihak menganjurkan golf patuh syariah – penganjurnya pula pengurusan sebuah institusi agama Islam iaitu Masjid Muaz Bin Jabal di Taman Setiawangsa.

Mengulas mengenainya, seorang perantara yang menganjurkannya yang hanya mahu dikenali sebagai Haji Nahar berkata, tidak ada pertandingan melibatkan ‘siapa kalah, dia bayar’ dalam pertandingan itu.

“Malah ada derma daripada orang ramai beri sebagai sumbangan, kami akan salurkan ke masjid. Beli al-Quran ke atau sebagainya,” ujarnya ketika dihubungi Malaysia Gazette hari ini.

Menurut Nahar, kos untuk yuran padang, sarapan dan makan tengahari disediakan pihaknya pada program diadakan 25 Januari ini di Kelab Golf Tasik Pemaisuri itu dan mengalu-alukan pihak yang sudi menderma.

Malah pihak kelab golf 18 lubang itu akan menyediakan surau untuk peserta menunaikan solat Zohor.

“Ini lebih kepada golongan pencen yang dulu kaki golf masa berkhidmat dan untuk asah bakat balik. Pasukan yang menang nanti akan dapat Trophi Mumtaz dari pihak masjid.

“Rata-rata peserta ramai sudah tidak main golf lebih 10 tahun, kalau dulu mungkin mereka ini average handicap 24,” ujarnya sambil menambah ia akan disertai seramai 48 peserta atau 12 flight bermula 8.30 pagi hingga 1 tengahari itu.

Menurutnya, sesiapa berminat boleh menghubunginya 019-650 6065.-MalaysiaGazette