Lima termasuk dua bekas pegawai kanan Felda ketika direman berhubung ke projek ternakan ikan Sturgeon Rabu lalu. - fotoBERNAMA
PUTRAJAYA – Lima individu termasuk dua bekas pegawai kanan Felda direman tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes penyelewengan projek ternakan ikan Sturgeon bernilai RM47.6 juta.

Majistret Nik Isfahanie Tasnim Wan Ab Rahman membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menahan reman kelima-lima lelaki itu sehingga 31 Jan ini.

Kesemua mereka yang memakai baju lokap berwarna jingga dengan tangan bergari tiba di Mahkamah Majistret di sini pada 9.05 pagi menaiki empat kereta berasingan.

Mereka akan disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Kelima-lima individu itu ditahan di beberapa lokasi di sekitar Lembah Klang antara 11.30 pagi dan 1.30 tengah hari semalam menerusi Op Caviar SPRM bagi menyiasat dakwaan penyelewengan projek pemindahan teknologi penternakan ikan sturgeon bernilai US$10 juta (RM47.6 juta) sejak 2014.
Seorang daripada mereka adalah pegawai kanan bergelar Datuk, seorang bekas pegawai (yang menyandang jawatan tinggi), seorang bertugas di luar negara, seorang pegawai terbabit projek penternakan ikan itu dan seorang lagi penolong pegawai tadbir.
Kesemua mereka berusia 30, 33, 38, 53 dan 57 tahun.

Menurut sumber SPRM , mereka dipercayai menyalahgunakan kedudukan mereka untuk kepentingan sendiri.

Sementara itu, Mahkamah Majistret yang sama membebaskan pemangku Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan pengurus jualan antarabangsa GLC berkenaan, selepas direman enam hari sebelum ini.

Mereka ditahan bagi membantu siasatan kes salah guna kuasa dan rasuah berkaitan projek pasport elektronik (e-pasport) bernilai lebih RM700 juta di sebuah negara di Afrika.

Nik Isfahanie Tasnim membebaskan pemangku CEO bergelar Datuk berusia 58 tahun dan pengurus jualan antarabangsa GLC berusia 36 tahun itu dengan jaminan SPRM sebanyak RM40,000 setiap seorang dengan seorang penjamin.

Kedua-dua lelaki itu dibawa ke Mahkamah Majistret kira-kira 9.20 pagi berpakaian baju lokap SPRM dengan wajah masing-masing ditutupi dengan tangan.

Datuk dan pengurus jualan antarabangsa GLC terbabit ditahan di kediaman masing-masing pada 19 Jan lalu dan direman selama enam hari bermula 20 Jan.

Bernama yang memetik sumber SPRM melaporkan suspek dipercayai melakukan kegiatan itu antara 2013 dan 2015 dengan menyalahgunakan kedudukan mereka untuk meminta rasuah daripada pemilik sebuah syarikat swasta dari luar negara bagi pelaksanaan e-pasport.

— BERNAMA