Dow Jones cecah 20,000 mata buat kali pertama. Foto Agensi

NEW YORK – Saham-saham Wall Street memecah rekod baru selepas akhir dagangan Dow Jones Industrial Average melepasi 20,000 mata buat kali pertama.

S&P 500 dan Nasdaq juga merekodkan paras tinggi baru, dengan harapan polisi-polisi Donald Trump akan merangsang ekonomi Amerika Syarikat.

Dow Jones yang mula menampak trend mencecah 20,000 mata pada Januari, meningkat 0.8 peratus kepada 20,068.51.

Aliran tunai pelabur mencurah-curah ke dalam saham dengan harapan pemotongan cukai dan pertumbuhan yang lebih tinggi.

Peningkatan Dow Jones melebihi 20,000 pada awal dagangan hari ini, disifatkan sebagai “Kesan Trump’, menurut penasihat kanan Kellyanne Conway dalam tweetnya.

Dow Jones mencapai 1,000 mata dalam tempoh dua bulan selepas ditutup melebihi 19,000, menjadikannya kenaikan 1,000 mata kedua terpantas yang pernah direkodkan.

Indeks meningkat daripada 10,000 mata kepada 11,000 mata dalam hanya 24 hari dagangan antara 29 Mac dan 3 Mei 1999, manakala kenaikan daripada 18,000 kepada 19,000 mengambil 483 hari dagangan (hampir dua tahun).

Saham kewangan menjadi faktor utama dalam rekod keuntungan – dengan Goldman Sachs dan JP Morgan merekodkan lonjakan sekitar 20 peratus.

Ini kerana pelabur percaya beberapa dasar Trump akan mencetuskan inflasi dan menghasilkan peningkatan dalam kadar faedah. – MalaysiaGazette