Donald Trump
Donald Trump

TOKYO – Jepun sedang bersedia untuk menghadapi pelbagai kemungkinan berhubung rundingan perdagangan dengan Amerika Syarikat.

Reuters melaporkan, Ketua Jurucakap Kerajaannya, Yoshihide Suga pada Jumaat selepas Presiden Amerika Donald Trump menghentikan Kerjasama Trans-Pasifik beberapa hari lalu.

Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe akan melawat Washington dan seorang pegawai pentadbiran Trump berkata, Presiden Amerika Syarikat baharu itu akan mencari jalan untuk mempercepatkan progress perjanjian perdagangan dua hala dengan Jepun.

“Benar kami sedang membuat persiapan untuk menghadapi apa jua situasi,” kata Suga dalam satu sidang media.

Beliau bagaimanapun enggan memberi komen mengenai dasar perdagangan Amerika Syarikat sehingga ianya betul-betul jelas.

“Perikatan dan ekonomi di antara Jepun dan Amerika Syarikat sangat penting, jadi kami mahu melakukan perbincangan dengan pelbagai peringkat di Amerika Syarikat tentang apa yang boleh kami lakukan bersama,” katanya.

Suga juga berkata, Jepun akan terus memantau secara teliti mengenai bagaimana hubungan di antara Amerika Syarikat dengan Mexico akan menjejaskan syarikat-syarikat Jepun.

Semalam, White House melontarkan idea untuk mengenakan cukai sebanyak 20 peratus ke atas barangan daripada Mexico bagi membiayai pembinaan tembok di sempadan selatan Amerika Syarikat.

Syarikat pengilangan termasuk pengeluar automotif utama Jepun mempunyai kilang di Mexico.- MalaysiaGazette