PETALING JAYA – Peniaga di Malaysia tidak bimbang dengan pengunduran Amerika Syarikat dalam Perjanjian Perkongsian Tran-Pasifik (TPP).

Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM) berpendapat pengunduran Amerika Syarikat akan membawa kesan buruk dan baik pada masa yang sama.

Kebaikan yang diterima peniaga Malaysia ialah mengelakkan persaingan daripada perusahaan negara anggota TPP manakala keburukannya adalah kehilangan peluang untuk menembusi pasaran penting seperti Amerika Syarikat.

Setiausaha Agung ACCCIM, Datuk Low Kian Chuan berkata, walaupun Amerika Syarikat mahu meninggalkan TPP, tetapi Malaysia masih boleh menandatangani perjanjian perdagangan bilateral dengan semua negara berkenaan, termasuk Amerika Syarikat.

“Kami masih boleh menandatangani perjanjian bilateral dengan negara seperti Amerika, Kanada, Peru dan Mexico. Malaysia tidak mempunyai perjanjian perdagangan dengan negara-negara ini,” katanya kepada Sinchew Daily.

Kian Chuan berkata demikian sebagai mengulas kemahuan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump untuk mengundurkan negaranya daripada TPP.

Kian Chuan berkata, TPP tetap merupakan saluran terbaik kerana perundingan perdagangan boleh dijalankan secara sekali gus tanpa melalui proses bilateral.

“Apatah lagi perundingan TPP sudah hampir selesai dan hanya menunggu masa untuk ditandatangani,” katanya.

Menurutnya , Malaysia harus mengekalkan hubungan baik dengan Amerika Syarikat dan berusaha menandatangani perjanjian perdagangan dengan negara itu.

Katanya, Malaysia bagaimanapun tidak kerugian besar apabila Amerika Syarikat menarik diri daripada TPP kerana Kuala Lumpur pada hakikatnya belum menyertai perjanjian perdagangan bebas itu.

Ujarnya lagi, Malaysia sebenarnya sudah bersedia melihat kegagalan TPP kerana masing-masing Presiden Donald Trump dan pesaingnya, Hillary Clinton menentang TPP dalam kempen pilihan raya presiden.