JOHOR BAHRU – Jumlah mangsa banjir di Johor terus mencatatkan penurunan kepada 2,294 orang setakat 8 pagi ini berbanding 2,423 orang pada 8 malam tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri Datuk Ayub Rahmat berkata kesemua mereka terdiri daripada 613 keluarga yang masih ditempatkan di 37 pusat pemindahan sementara (PPS) di tiga daerah yang terjejas iaitu Segamat, Tangkak dan Muar.

Beliau berkata seramai 1,256 orang daripada 336 keluarga masih ditempatkan di 24 PPS di Segamat, 605 mangsa daripada 154 keluarga berada di tujuh PPS di Tangkak manakala 433 orang daripada 123 keluarga lagi di enam PPS di Muar.

“Dua sekolah di daerah Segamat iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Felcra Bukit Kepong dan Sekolah Kebangsaan Kampung Tengah masih ditutup,” kata beliau dalam kenyataan di sini.

Selain itu, tujuh jalan masih terputus hubungan meliputi Jalan Pogoh-Tekam, Seksyen 5.2-5.9 Jalan Kuala Paya-Balai Badang, Tumang Batu Anam-Kawasan Ladang dan Laluan ke Lubuk Lanjut di Segamat.

Di Pontian, laluan yang terputus hubungan ialah Jambatan Jalan Kampung Sungai Pinggan manakala di Muar ialah Kilometer 61 Jalan Muar-Labis serta Jalan Pagoh Tekam.

— BERNAMA