Home Dunia Trump pertahan tindakan pengharaman masuk 7 negara

Trump pertahan tindakan pengharaman masuk 7 negara

Sebahagian daripada penunjuk perasaan membantah larangan kemasukan pelarian Syria dan enam negara lain ke Amerika Syarikat. Foto Agensi

WASHINGTON – Pentadbiran Donald Trump kekal teguh dengan larangan ke atas imigresen daripada tujuh negara walaupun mendapat bantahan besar-besaran.

Dalam satu kenyataan, Trump berkata, Amerika Syarikat akan mengeluarkan visa sekali mengikut “dasar paling selamat”.

Trump dalam Twitternya berkata: “AS memerlukan “tapisan melampau, SEKARANG”.

Tetapi tidak lama kemudian beliau berkata: “Ini bukan soal agama – ini adalah mengenai keganasan dan memastikan negara kita selamat.

“Kami akan mengeluarkan sekali lagi visa kepada semua negara selepas mengkaji semula dan melaksanakan dasar-dasar yang paling selamat dalam tempoh 90 hari akan datang,” katanya.

Beliau turut menafikan tindakan itu sebagai melarang orang Islam memasuki Amerika Syarikat.

Seramai 16 pendakwa raya negeri berkata, tindakan Trump itu tidak mematuhi perlembagaan.

Manakala beberapa hakim persekutuan telah menghentikan sementara pengusiran pemegang-pemegang visa.

Perintah eksekutif yang ditandatangani pada hari Jumaat lalu telah menghentikan keseluruhan program pelarian Amerika Syarikat untuk selama 120 hari dan mengharamkan kemasukan pelarian Syria dan menggantung kemasukan tujuh negara, majoritinya Islam.

Warga negara terlibat yang tiba di Amerika Syarikat ketika perintah eksekutif itu dikeluarkan telah ditahan di lapangan terbang, meskipun memiliki visa yang sah dan permit imigresen yang lain.

Tindakan Trump itu mencetuskan tunjuk perasaan di lapangan terbang di seluruh negara itu, turut melibatkan penyertaan peguam yang menawarkan perkhidmatan percuma bagi warga negara yang terlibat.

Demontrasi bantahan turut diadakan di White House dan Trump Tower di New York.

Selain pengharaman pelarian, pengembara yang memiliki dua kerakyatan Iran, Iraq, Libya, Somalia, Sudan, Syria dan Yaman juga dilarang memasuki Amerika Syarikat dalam tempoh 90 hari.

Ia juga membabitkan dua kerakyatan dengan negara-negara lain termasuk United Kingdom. Namun perintah itu masih menimbulkan kekeliruan,

United Kingdom dalam kenyataan berkata, hanya mereka yang memiliki dua warga negara dari salah satu daripada tujuh negara disenarai hitam akan tertakluk kepada pemeriksaan tambahan – mereka yang melancong antara United Kingdom dan Amerika Syarikat tidak akan terjejas.

Walau bagaimanapun, seorang pelajar veterinar Scotland – yang memiliki Iran – tidak dapat untuk terbang pulang dari percutiannya di Costa Rica selepas visa transit beliau untuk Amerika Syarikat adalah tidak lagi sah.

Ketua Kakitangan White House, Reince Priebus berkata, pemegang kad hijau Amerika Syarikat – yang merupakan penduduk yang disahkan di sisi undang-undang – juga tidak akan terjejas, tetapi ada yang telah ditahan sejak perintah itu berkuat kuasa. – MalaysiaGazette