ALi Tinju

KUALA LUMPUR – Selepas lama ‘berkokok’ sebagai NGO kini Ali Tinju berhasrat menubuhkan parti politik pula dan bersedia bertanding Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) nanti.

Menurutnya, nama parti itu ialah Parti Setia Pahlawan Malaysia (PSPM) yang membuka keahlian kepada bekas tentera dan polis di negara ini.

“PSPM perlu ditubuhkan sebagai parti khas mewakili suara bekas pahlawan negara.

“Ada 350,000 bekas tentera dan 150,000 bekas polis, kalau dicampur dengan ahli keluarga mereka kita ada potensi keahlian kira-kira dua juta,” ujarnya kepada Malaysia Gazette di sini hari ini.

Ali Tinju atau nama sebenarnya Mohd. Ali Baharom sebelum itu merupakan Presiden Persatuan Veteran Tentera Malaysia yang kemudiannya mengetuai NGO Gerakan Baju Merah.

Bagaimanapun, menurut Ali Tinju, PSPM akan menjadi komponen dalam Barisan Nasional dan menyokong aspirasi kerajaan sekarang.

“Ada dalam kalangan tentera tidak gemar berada dalam UMNO tetapi dalam masa yang sama tidak suka pakatan pembangkang kerana ada DAP.

“Jadi, strategi PSPM menarik mereka ini bersama dalam parti dan memperjuangkan hak mereka selain membuka kepada mereka yang bukan tentera dan polis tetapi NGO menyertainya juga,” ujarnya.

Menurutnya, mesyuarat penubuhan protem PSPM akan diadakan pada 19 Januari ini di kediamannya di Puchong dan berharap akan diluluskan segera oleh Pendaftar Pertubuhan Malaysia.

Ditanya hasrat bertanding PRU-14, Ali Tinju berharap BN memberi mereka peluang kepada PSPM kelak terutama di kawasan majoriti pengundi Melayu.-MalaysiaGazette