Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor

GEORGE TOWN- Mufti Pulau Pinang, Datuk Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor menafikan dakwaan ada ‘fatwa beku’ seperti didakwa sesetengah pihak.

Malah beliau memaklumkan belum ada exco atau kerajaan negeri menghalang pengwartaan fatwa.

“Saya amat berharap agar ahli-ahli politik khasnya dan masyarakat amnya dapat menghormati fatwa yg diputuskan oleh mana-mana ahli jawatankuasa fatwa di negara ini sama ada di peringkat Muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan mahu pun fatwa negeri-negeri.

“Masyarakat hendaklah memahami bahawa keputusan fatwa dibuat berdasarkan kaedah2 tertentu di samping mempertimbangkan kepentingan awam dan situasi sekeliling,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Wan Salim mengakui fatwa dikemukakan ke majlis mesyuarat Exco tetapi untuk makluman sahaja bukan dibahaskan.

“Apabila mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri memutuskan untuk mewartakan sesuatu fatwa, ia dikemukakan terlebih dahulu di dalam mesyuarat Exco oleh Setiausaha Kerajaan Negeri.

“Kemudian dihantar ke pejabat Penasihat Undang-undang Negeri untuk diperbaiki serta dihalusi susunan bahasanya kemudian dihantar ke Istana Negara menerusi pejabat SUK untuk mendapat perkenan Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong,” ujarnya lagi.

Setelah diperkenankan oleh baginda maka pejabat SUK sekali lagi menghantarkannya ke pejabat Penasihat Undang-Undang negeri untuk tujuan pewartaan, katanya.

Bagaimanapun, Wan Salim tidak mengulas mengenai dakwaan penyebaran Islam Liberal yang didakwa termasuk dalam majalah lidah rasmi kerajaan negeri.

Sebelum itu, Pesuruhjaya Pas Negeri Pulau Pinang, Muhammad Fauzi Yusoff mendakwa kerajaan negeri gagal membela agama Islam dan Melayu termasuk mendakwa terdapat agama Islam Liberal dan campur tangan kerajaan negeri dalam urusan fatwa.-MalaysiaGazette

Bahaya Islam liberal, fatwa ‘beku’ di Pulau Pinang