Mohd. Shahreen Zainooreen

KUALA LUMPUR – Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) mengumumkan pelantikan Dr. Mohd. Shahreen Zainooreen Madros sebagai Ketua Pegawai Eksekutifnya yang baharu menggantikan Datuk Dzulkifli Mahmud yang bersara.

Pelantikan tersebut berkuatkuasa 2 Februari ini.

Dalam satu kenyataan, Shahreen berkata, beliau mahu terus mengukuhkan kedudukan Matrade sebagai agensi promosi eksport Malaysia.

“Matrade akan terus membentuk kerjasama-kerjasama strategik dengan kesemua pemegang taruh berkaitan sama ada dalam sektor swasta dan awam seperti kementerian, agensi, persatuan perdagangan, dewan perdagangan dan majlis perniagaan.

Ini bagi memastikan Malaysia kekal kompetitif di dalam arena global,” katanya yang merupakan bekas Pengarah Eksekutif di Malaysia Petroleum Resources Corporation (MPRC).

Merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Matrade yang ketujuh, Shahreen adalah graduan Kelas Pertama Kepujian daripada University of London pada 1986 dan Ijazah Kedoktoran daripada University of Cambridge pada 1989.

Sebelum Matrade dan MPRC, beliau pernah berkhidmat dengan Esso Production Malaysia Inc (EPMI) dan ditugaskan untuk bertugas di Exxon Production Research Company di Houston, Amerika Syarikat selama dua tahun.

Selepas EPMI, Shahreen menyertai INTEC Engineering dan terlibat dalam kerja-kerja perundingan rekaan luar pesisir bagi pelanggan tempatan dan antarabangsa.- MalaysiaGazette