Ben Nathan dahulu dan sekarang.

KUALA LUMPUR- Ben Nathan merupakan antara penyanyi bukan Melayu yang mampu mencipta nama dalam dunia hiburan sejak lewat 1980-an.

Selain Alleycats, Ben merupakan artis India yang sebutan bahasa Melayunya fasih ketika itu.

Lagunya Stanza Sepi Sekeping Hati dengan serak-serak basah memikat halwa telinga sehingga beliau dikenali dan diminati ramai.

Tetapi selepas itu Ben ‘hilang’ tanpa berita dan yang ada cuma lagu-lagunya yang menjadi pilihan orang ketika berkaraoke sampai sekarang.

Rupa-rupanya Ben dijumpai dalam keadaan tidak terurus sejak beberapa tahun lalu.

Menurut mereka yang mengenali Ben, penyanyi berasal dari Pulau Pinang itu bukan sakit mental tetapi lebih kepada ‘hilang semangat’.

Ada yang kata, Ben pernah berubat banyak tempat tetapi keadaannya masih belum pulih.

Hari ini, Ben yang fizikal masih sihat tetapi agak kurus sering dilihat merayau-rayau di ibu kota dan sesekala ‘menyanyi’ live atas permintaan peminat yang masih mengenalinya.

Usaha ‘menyelamatkan’ penyanyi yang menggunakan nama Ben Adam selepas masuk agama Islam seperti didakwa itu sudah dilakukan termasuk NGO dari Pulau Mutiara dan persatuan artis beberapa tahun lepas namun ia dipandang sepi oleh Ben.

Entah betul atau tidak tetapi sejak beberapa hari ini, tular video Ben dirakam netizen.

Keadaannya tidak terurus menyedihkan kepada sesiapa yang pernah mengenalinya secara peribadi atau meminati suaranya merdunya.

Apa pun, moga usaha ‘menyelamatkan’ Ben Nathan berjaya bukan kerana dia artis tetapi atas rasa kemanusiaan dan atas jasanya yang pernah mewarnai dunia hiburan tanahair.-MalaysiaGazette

Comments are closed.