
KUALA LUMPUR – Caj rawatan pergigian yang akan dinaikkan oleh Kementerian Kesihatan mulai 1 Mac ini masih terlalu murah dan sangat munasabah dengan mengambil kira kualiti rawatan dan bahan-bahan yang digunakan setanding dengan klinik swasta.
Presiden Persatuan Pergigian Swasta Malaysia, Dr. V. Nedunchelian berkata, meskipun anjakan kenaikan dari segi peratusan nampak tinggi tetapi ia tidak boleh dijadikan pengukur memandangkan kos pembelian bahan-bahan dan peralatan rawatan pergigian melonjak.
Menurutnya, selain sarung tangan getah yang boleh dibeli di Malaysia, bahan-bahan dan peralatan bagi rawatan pergigian perlu diimport.
Malah, keperluan barangan tertentu seperti mesin penyahkuman yang diwajibkan di setiap klinik pergigian turut menambah kos rawatan tersebut.
Jelasnya, jika overhead di klinik pergigian di klinik swasta semakin tinggi, sudah tentu kerajaan juga menanggung kos yang sama, apatah lagi jumlah pesakit di hospital dan klinik kerajaan sangat tinggi.
“Keseluruhannya memang kos rawatan gigi semakin meningkat dan caj yang dikenakan oleh hospital kerajaan memang sangat, sangat berpatutan. Caj RM1 untuk cabut gigi ini saya nikmati semasa saya sekolah rendah, sampai sekarang.
“Sedangkan dulu air kita beli dalam lima sen, sekarang naik sehingga RM1 atau RM2, harga ikan kembung pun sudah naik sehingga lebih RM10 sekilogram dan harga kobis yang dulu hanya berapa sen sahaja pun sudah RM6 sekilogram. Ini pula caj rawatan gigi yang menggunakan material yang mahal,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Beliau mengulas mengenai caj harga baru bagi rawatan pergigian baru oleh Kementerian Kesihatan yang menyaksikan kos cabutan gigi dinaikkan dari RM1 kepada RM15 manakala caj cuci gigi meningkat dari RM 2 kepada RM55 dan tampalan dari RM2 kepada RM25.
Tambah Dr. Nedu, jika hospital atau klinik kerajaan mengenakan caj baru sebanyak RM15 untuk cabut gigi, di klinik swasta pula kos yang dikenakan lebih mahal dan mengikut jenis gigi.
Contohnya, gigi hadapan dari RM90 ke atas dan geraham antara RM140 hingga RM150 manakala gigi bongsu atas RM600 dan bongsu bawah antara RM600 sehingga RM1,000.
Caj tampal gigi pula dari RM90 ke atas.
Kos cuci gigi tampal gigi pula antara RM150 hingga RM200 lebih, cuma di luar bandar caj yang dikenakan lebih rendah antara RM60 hingga RM80.
Dr. Nedu berkata, disebabkan kos rawatan pergigian di hospital dan klinik kerajaan jauh lebih murah menyebabkan golongan kaya juga mendapatkan perkhidmatan itu di sana.
Beliau mengakui rakyat di negara ini beruntung kerana kerajaan masih menanggung sejumlah besar subsidi bagi perkhidmatan, rawatan dan perubatan.
“Jika dibandingkan sahaja rawatan di klinik gigi swasta dan kerajaan, rakyat boleh melihat betapa jauhnya jurang kos yang perlu ditanggung.
“Ini belum lagi dengan jumlah pesakit yang semakin ramai mendapatkan rawatan di hospital dan klinik kerajaan. Kadangkala kita perlu mempunyai sikap rasional dalam menghadapi isu kenaikan,” tambahnya. – MalaysiaGazette















