Akaun Facebook Xaysana Keopimpha
BANGKOK – Akaun Facebook Xaysana Keopimpha, yang diberi jolokan oleh pihak berkuasa Thai sebagai ‘Raja Dadah ASEAN’ berikutan sindiket penyeludupan dadah serantau yang dikendalikannya termasuk ke Singapura dan Malaysia, memberi sekilas gambaran tentang gaya hidupnya.

Menurut pihak berkuasa Thai, warga Laos berusia 41 tahun itu menjalani gaya hidup yang berlebih-lebihan, memandu kereta mewah seperti Lamborghini dan bergaul dengan golongan kelas atasan serta selebriti di negara ini.

“Raja dadah ini memberi gambaran dirinya sebagai ahli perniagaan yang kaya raya dari Laos,” kata Ketua Narcotics Suppression Bureau (NSB) Thailand Lt Jen Sommai Kongvisaisuk kepada pemberita baru-baru ini.

Beliau berkata apabila raja dadah itu yang juga dikenali sebagai ‘Mr X’ oleh pihak berkuasa berada di Thailand, dia akan menganjurkan parti dan mengundang personaliti hiburan, selebriti serta tokoh perniagaan terkemuka.

Gambar dari akaun Facebook Xaysana Keopimpha
Gambar dari akaun Facebook Xaysana Keopimpha

Memandangkan Xaysana kini telah pun ditahan dalam operasi membanteras dadah pada 19 Jan selepas siasatan teliti lebih lima tahun, gaya hidup berlebih-lebihan dan kemewahan luar biasa yang disyaki diperoleh daripada perdagangan dadah itu mula terbongkar.

Akaun Facebook Xaysana memuatkan beberapa keping gambar dia bersama rakan mengambil swafoto berlatar belakang koleksi kereta mewah termasuk Ferrari, Bentley dan Lamborghini di kawasan kediamannya yang terbentang luas di Laos.

Satu daripada gambar yang dimuat naik ke dalam akaun Facebook itu menunjukkan Xaysana memakai baju-T tanpa lengan yang mendedahkan tatoo pada kedua-dua lengannya, duduk bersendirian di atas sebuah daripada kereta mewah miliknya itu dengan bumbung terbuka.

Akaun Facebook Xaysana Keopimpha
Akaun Facebook Xaysana Keopimpha

Selain gambar daripada Facebook yang kali terakhir dikemas kini pada 19 Dis, beberapa visual lelaki itu memandu kereta mewah bersama rakan-rakan di Thailand juga tersebar luas dalam buletin berita dan lingkungan media sosial di negara ini.

Ekoran penahanan Xaysana, pihak berkuasa Thai merampas aset bernilai lebih 200 juta Baht (kira-kira RM26 juta) termasuk kereta dan motosikal mewah yang disyaki mempunyai kaitan dengan rangkaian dadah Laos.

Semalam, pegawai penguat kuasa turut merampas sebuah Lamborghini daripada suami seorang aktres terkenal Thailand kerana kenderaan mewah itu juga disyaki kepunyaan raja dadah Laos itu.

Pihak berkuasa Thai berkata mereka menjangka akan membuat beberapa lagi rampasan aset disyaki kepunyaan ‘Raja Dadah ASEAN’ dan menahan lebih banyak orang ketika mereka mempertingkatkan siasatan terhadap rangkaian dadahnya di negara ini.

— BERNAMA